- Iklan -
Berita

Risiko penularan Omicron ‘sangat tinggi’ di peringkat global, kata WHO

Tiada kematian dikaitkan dengan varian Omicron dilaporkan, namun penyelidikan lanjut diperlukan bagi menilai potensinya dalam mengelak imuniti vaksin dan jangkitan terdahulu, kata WHO.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Pengembara antarabangsa turut memakai pakaian perlindungan lengkap  di Lapangan Terbang Tullamarine, Melbourne, Australia. Negara itu mencatat beberapa kes varian Omicron baru-baru ini. Gambar: AFP
Pengembara antarabangsa turut memakai pakaian perlindungan lengkap di Lapangan Terbang Tullamarine, Melbourne, Australia. Negara itu mencatat beberapa kes varian Omicron baru-baru ini. Gambar: AFP

Kemungkinan varian Omicron merebak di peringkat antarabangsa menimbulkan risiko lonjakan jangkitan yang “sangat tinggi” di peringkat global di mana ia mungkin memberikan “kesan buruk” di beberapa kawasan, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Isnin.

Menjangkakan peningkatan bilangan kes, agensi PBB itu menggesa 194 negara anggotanya untuk menyegerakan usaha vaksinasi beberapa kumpulan utama demi “memastikan rancangan pembendungan wabak sentiasa bersedia” bagi mengekalkan operasi perkhidmatan kesihatan yang penting.

“Omicron memiliki bilangan mutasi yang belum pernah berlaku sebelum ini, beberapa mutasi itu adalah membimbangkan kerana kesannya berpotensi memberi impak terhadap situasi wabak,” kata WHO.

“Risiko global berkait varian baru ini secara umumnya dinilai sebagai sangat tinggi.”

Setakat ini, tiada kematian dikaitkan dengan varian Omicron dilaporkan.

Namun penyelidikan lanjut diperlukan bagi menilai potensi varian Omicron mengelak daripada perlindungan imuniti vaksin dan jangkitan sebelumnya, katanya.

“Peningkatan kes, tanpa mengira perubahan dalam kadar keterukan, mungkin menimbulkan permintaan luar biasa terhadap sistem penjagaan kesihatan dan boleh membawa kepada peningkatan morbiditi dan kematian.
“Impaknya ke atas populasi yang terdedah akan jadi besar, terutama di negara-negara yang mempunyai kadar vaksinasi yang rendah,” katanya.

Varian itu pertama kali dilaporkan kepada WHO pada 24 November dari Afrika Selatan, di mana jangkitan Covd-19 meningkat secara mendadak.

Sejak dilaporkan, ia juga turut merebak ke seluruh dunia, dengan kes baru berkait varian itu ditemui di Belanda, Denmark dan Australia walaupun banyak negara telah mengenakan sekatan perjalanan bagi mengelak penularannya.

Jepun hari ini turut mengumumkan akan menutup sempadan kepada orang asing, menyusuli Israel yang turut mengambil langkah sukar tersebut.

Dalam garis panduan barunya, WHO mengulangi negara harus menggunakan “pendekatan berasaskan risiko bagi menyesuaikan langkah-langkah berkait perjalanan antarabangsa pada waktu yang tepat”.

Garis panduan lanjut juga akan dikeluarkan badan kesihatan itu kelak.

“Kemunculan pelbagai mutasi terhadap protein dalam domain pengikat reseptor menunjukkan Omicron mungkin memiliki daya tahan yang tinggi untuk mengelak perlindungan imuniti dari antibodi.

“Bagaimanapun, potensi varian itu mengelak daripada imuniti pengantaraan sel adalah lebih sukar untuk diramal,” katanya.

“Secara keseluruhannya, terdapat banyak ketidakpastian dalam potensi Omicron mengelak daripada perlindungan imuniti.”

Lebih banyak data dijangka akan diperolehi mengenai varian baru itu dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

“Kes dan jangkitan Covid-19 dijangka berlaku terhadap mereka yang telah menerima vaksin, walaupun bilangannya kecil dan boleh diramalkan,” tambahnya.