- Iklan -
Berita

DAP Sarawak serang GPS selepas umum sebahagian senarai calon PRN

Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen berkata beliau tidak menjumpai dokumen belanjawan tambahan negeri bagi 2022 di DUN.

Nur Shazreena Ali
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen. Gambar: Bernama
Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen. Gambar: Bernama

DAP Sarawak hari ini mempersoalkan pentadbiran Gabungan Parti Sarawak (GPS), sejurus selepas mengumumkan senarai beberapa calonnya bagi pilihan raya negeri (PRN) yang akan diadakan pada 18 Disember.

Bercakap pada sidang media di Kuching, Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen berkata beliau tidak menjumpai dokumen belanjawan tambahan negeri itu bagi 2022 di Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Minggu lalu saya pergi ke perpustakaan DUN untuk menyemak sama ada terdapat dokumen bajet tambahan bagi 2022,” katanya.

“Saya tidak jumpa. Jadi dalam erti kata lain, tiada pembentangan belanjawan secara rasmi. Tiada dokumen rasmi, bukan sahaja untuk orang awam malahan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

“Saya fikir ini adalah sesuatu perkara yang salah dan tidak telus,” tambahnya.

Chong juga berkata dana rizab negeri merosot sepanjang tempoh dua tahun di bawah kerajaan GPS, daripada RM30 bilion pada 2017 kepada RM23 bilion pada 2019.

“Angka setakat 31 Disember 2020 tidak dibentangkan di DUN.

“Angka belanjawan bagi 2019 dicatat dalam dokumen belanjawan bagi 2021, yang dibentangkan dalam DUN pada penghujung 2020. Itu angka 2019,” katanya dan menambah angka akhir bagi 2020 perlu ada dalam dokumen belanjawan bagi tahun 2022.

“Seperti yang anda ingat, terdapat satu sidang khas yang dibuat oleh kerajaan negeri bagi mengumumkan belanjawan itu, namun bukan di DUN sebaliknya di Pusat Konvensyen Borneo Kuching.

“Dalam pengumuman itu, tiada dokumen belanjawan diberikan, hanya ucapan Abang Johari Openg.”

Chong yang merupakan Adun Kota Sentosa turut mempersoalkan beberapa projek negeri bernilai berbilion ringgit dan menggesa semua parti pembangkang bekerjasama dalam usaha melawan GPS.

“Banyak projek bernilai bilion ringgit diumumkan Abang Johari,” katanya.

“RM1 bilion untuk beberapa menara komunikasi, RM5 bilion untuk Projek Jalan Utama Kedua – semua projek bernilai bilion ringgit.

“Sarawak perlukan perubahan, atau sekurang-kurangnya pembangkang yang kuat, jika tidak GPS akan dapat cek kosong untuk belanja duit rakyat.”

Beliau turut mendedahkan 18 dari 26 calon parti itu bagi PRN akan datang, di mana 11 daripadanya adalah muka baru.

Beliau berkata calon bagi baki lapan kerusi akan diumumkan selepas GPS mengumumkan calonnya.

Bagi enam kerusi di Kuching, beliau berkata DAP akan menunggu sehingga SUPP yang merupakan parti komponen GPS mengumumkan calonnya manakala bagi dua lagi kerusi di Sibu, ia bersedia untuk bekerjasama dengan Parti Sarawak Bersatu (PSB).

“Bagi kerusi Dudong dan Bawang Assan, sebelum ini ada rundingan dengan PSB tetapi tidak begitu berjaya.

“Jadi kami bersedia untuk berkompromi dan masih membuka pintu untuk berunding dengan PSB bagi menunjukkan keikhlasan kami bekerjasama dengan mereka melawan GPS,” katanya.