- Iklan -
Berita

SPR digesa kreatif pastikan pengundi luar Sarawak dapat mengundi

Pemerhati politik berkata SPR sepatutnya menyasarkan peratusan keluar mengundi sebanyak 100% dan mencari kaedah memastikan yang tidak dapat pulang masih boleh mengundi dari lokasi mereka.

Nur Shazreena Ali
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang lelaki menjalankan hak mengundi pada PRN Melaka 20 November lalu. SPR digesa untuk mencari kaedah memastikan 100% pengundi dapat menjalankan hak mereka bagi PRN Sarawak akan datang.
Seorang lelaki menjalankan hak mengundi pada PRN Melaka 20 November lalu. SPR digesa untuk mencari kaedah memastikan 100% pengundi dapat menjalankan hak mereka bagi PRN Sarawak akan datang.

Seorang pemerhati politik Sarawak mengkritik sasaran 70% keluar mengundi yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang, mengatakan mereka harus mencari kaedah untuk memudahkan baki 30% pengundi lain yang dianggap terdiri daripada pengundi luar kawasan di Sabah dan semenanjung.

Pengulas politik Sarawak Jayum Jawan berkata SPR sepatutnya menyasarkan peratusan keluar mengundi sebanyak 100% pada PRN Sarawak yang akan diadakan pada 18 Disember depan.

“Ia adalah sasaran rendah yang ditetapkan SPR,” katanya merujuk kepada peratusan sebanyak 70% diumumkan suruhanjaya tersebut.

“Selepas pengalaman mengendalikan pilihan raya selama kira-kira 60 tahun atau lebih, suruhanjaya itu sepatutnya menyasarkan 100% peratusan keluar mengundi.”

Semalam, SPR mengumumkan PRN Sarawak akan diadakan pada 18 Disember, dengan peruntukan 12 hari berkempen bermula pada hari penamaan calon yang dijadualkan pada 6 Dis.

Undi awal bagi PRN itu pula ditetapkan pada 14 Disember.

Sarawak mempunyai jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) terbesar dalam negara, dengan 82 kerusi bakal dipertandingkan.

Sebelum pembubaran DUN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyandang 68 kerusi – 47 kerusi dipegang PBB, sementara PRS (11), SUPP (7) dan PDP (3).

Seramai 1.2 juta pengundi layak mengundi bagi PRN kali ini, terdiri dari 1,228,858 pengundi biasa, 12,585 anggota tentera dan pasangan, 10,458 anggota polis dan 113 pengundi luar negara.

Jayum berkata, SPR perlu mengambil pendekatan kreatif untuk mempelbagaikan kaedah pengundian bagi mengatur undi pos.

Beliau berkata situasi pandemik menjadikan perkara ini lebih mustahak demi memastikan pengundi dapat menjalankan hak mereka untuk mengundi.

“Peratusan keluar mengundi yang rendah, kurang dari 100% dan keadaan pengundi yang berada jauh di luar negeri yang dan tidak dapat mengundi adalah isu yang perlu diatasi oleh SPR,” katanya kepada MalaysiaNow.

“SPR perlu cari cara yang inovatif demi memastikan mereka yang tidak boleh pulang mengundi masih boleh mengundi dari mana sahaja mereka berada.”

Walaupun ini satu perkara yang mungkin mencabar, namun beliau berkata dunia kini di “alaf baru”.

“Anggota SPR perlu melengkapkan diri mereka dengan idea baru, kaedah baru, supaya semua pengundi yang layak boleh buang undi, di mana sahaja mereka berada.”

Sementara itu, penganalisis James Chin dari Universiti Tasmania berkata sasaran 70% itu boleh dicapai.

“Saya fikir 60% hingga 70% boleh dicapai,” katanya.

“Ia tidak sepatutnya menjadi masalah bagi kawasan luar bandar, terutamanya bagi pengundi yang tinggal di rumah panjang.”

Namun, katanya isu mungkin timbul dari kawasan bandar.

Beliau berkata PRN Sarawak mungkin akan menyaksikan peratusan keluar mengundi yang lebih rendah, terutama di lokasi-lokasi tersebut.

Menurutnya, tarikh pengundian pada 18 Disember akan menyukarkan pengundi Sarawak yang menetap di negeri lain untuk mengundi kerana mereka perlu melanjutkan cuti Krismas atau hujung tahun.

“Jelas sekali hari pengundian dekat dengan tarikh perayaan Krismas,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Kebanyakan orang akan pulang ke Sarawak satu atau dua hari sebelum Krismas, dan mereka akan berehat sehingga menjelang Tahun Baru.

“Mustahil untuk orang ramai ambil cuti tambahan atau keluar belanja bagi membeli tiket penerbangan sebanyak dua kali untuk pulang ke Sarawak hanya untuk mengundi, dan kemudian kembali semula untuk Krismas.

“Ia satu perkara yang mustahil,” katanya.