- Iklan -
Berita

Nama besar Hollywood bikin drama bersiri berkaitan skandal 1MDB

Pencipta 'House of Cards' Beau Willimon, penerbit 'Crazy rich Asians' dan gadis Bond Michelle Yeoh antara yang terlibat dalam pembikinan siri tersebut.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Skandal 1MDB kini disiasat di beberapa negara termasuk Singapura, Amerika Syarikat, Switzerland dan Malaysia. Gambar: AFP
Skandal 1MDB kini disiasat di beberapa negara termasuk Singapura, Amerika Syarikat, Switzerland dan Malaysia. Gambar: AFP

Sebuah drama bersiri berdasarkan buku berkaitan 1MDB “Billion Dollar Whale” sedang dalam pembikinan, dibangunkan oleh pencipta siri “House of Cards” Beau Willimon dan SK Global yang merupakan penerbit bersama filem “Crazy Rich Asians”, dengan kerjasama barisan nama besar lain termasuk Michelle Yeoh.

Menurut laman berita hiburan Deadline.com, Willimon mengusahakan drama siri tersebut bersama Westward Jordan Tappis dan penulis drama pemenang Anugerah Tony David Henry Hwang, sementara John Penotti dari SK Global, Charlie Corwin dan Marcy Ross akan bertindak sebagai penerbit eksekutif.

Bekas gadis Bond, Yeoh pula akan menjadi penerbit siri tersebut.

Menyifatkan drama bersiri itu sebagai “kisah tamak, penipuan kewangan, dan satira sosial komedi gelap”, Penotti dan Corwin berkata sukar untuk menggambarkan kesan budayanya “di Asia dan di seluruh dunia”.

“Kami sangat teruja kerana dapat menghidupkan kisah luar biasa ini untuk khalayak global,” Willimon dan Tappis dipetik sebagai berkata.

“Billion Dollar Whale: The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood, and the World”, ditulis oleh wartawan Wall Street Journal Tom Wright dan Bradley Hope, ia berpusat pada Low Taek Jho, seorang lelaki yang didakwa mendalangi skandal 1MDB yang disifatkan sebagai salah satu kes penipuan terbesar pernah direkodkan di dunia.

Kes itu kini dalam siasatan di beberapa negara termasuk Malaysia, Singapura, Switzerland dan Amerika Syarikat.

Bekas perdana menteri Najib Razak yang didakwa terlibat dengan Low, atau lebih dikenali sebagai Jho Low, kini berdepan pelbagai pertuduhan jenayah berhubung dana negara.

Pada Julai tahun lalu, beliau disabitkan tujuh pertuduhan jenayah pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa melibatkan kira-kira RM42 juta dana 1MDB melalui SRC International.

Beliau dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Mahkamah membenarkan permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan tersebut sementara menunggu keputusan rayuannya.

Keputusan rayuannya dijadual akan diputuskan Mahkamah Rayuan pada 8 Disember depan walaupun Najib memohon untuk menangguhkan keputusan itu ke satu tarikh lain berikutan lawatannya ke Singapura.