Monday, December 6, 2021

Kerajaan Ismail beri ‘layanan istimewa’ pada Najib, kata Dr M

Dr Mahathir berkata tidak ada pesalah kesalahan jenayah yang dilayan seperti Najib Razak.

Other News

Dr Mahathir Mohamad hari ini sekali lagi mempersoalkan layanan istimewa kepada Najib Razak walaupun disabitkan bersalah dengan jenayah kewangan besar, sebaliknya bekas perdana menteri itu diberikan ganjaran oleh kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob.

“Apa yang jelas, kerajaan Ismail Sabri tidak mematuhi kesetaraan di bawah undang-undang seperti yang diharapkan daripada kedaulatan undang-undang.

“Tidak ada orang yang disabitkan kesalahan di Malaysia ini yang dilayan seperti layanan yang Najib dapat,” kata Mahathir dalam sebuah hantaran dalam talian ketika beliau dan Najib berbalas sarangan secara terbuka di ruang awam.

Mahathir, yang berkhidmat sebagai perdana menteri sebanyak dua kali termasuk 22 tahun sehingga 2003, mengenang bagaimana bekas timbalannya, Anwar Ibrahim dilayan pihak polis pada 1998 pada sepanjang tempoh tiga minggu beliau dipecat dari Kabinet.

“Polis memecahkan pintu rumah Anwar dan menangkapnya, beliau digari dan dimasukkan ke dalam kereta polis untuk ditahan sebelum didakwa di mahkamah, sementara Najib tidak pernah ditangkap atau digari atau dibawa ke lokap dalam kereta polis,” kata Mahathir merujuk penahanan dramatik Anwar pada 20 September 1998 selepas mengetuai tunjuk perasaan terhadapnya di ibu negara.

“Jelas sekali kedaulatan undang-undang tidak dilaksanakan secara adil antara mereka berdua.

“Semua ini mungkin boleh didakwa sebagai mengikut undang-undang namun ia tidak selari mengikut kedaulatan undang-undang,” katanya.

Anwar kemudiannya didakwa atas tuduhan liwat dan salah guna kuasa.

Beliau kemudiannya dijatuhi hukuman penjara enam tahun.

Beliau sekali lagi dipenjarakan pada 2014 atas pertuduhan meliwat seorang kakitangan PKR, sebelum diberi pengampunan dan dibebaskan dari penjara pada 2018 di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Mahathir.

Mahathir berkata pertuduhan yang dihadapi Najib adalah lebih serius dan turut mempersoalkan kebebasan bekas presiden Umnoitu untuk bergerak.

“Setakat yang kita ketahui, tiada orang lain yang diberi layanan sebegini. Lebih daripada itu, dia kini dibenarkan keluar negara. Sekali lagi, tiada duluan seperti itu di negara ini.

“Dengan kebebasan yang Najib ada, ia membolehkan beliau menggugat keputusan Mahkamah Tinggi dan tidak dapat tidak menggugat seluruh institusi kehakiman. Memandangkan pengaruh Najib yang begitu besar, beliau boleh menyebarkan kejahatan ini dalam kalangan pengikutnya yang naif dan mudah tertipu,” tambahnya.

Tahun lalu, Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun selepas disabitkan dengan tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan RM42 juta dari SRC International.

Keputusan rayuannya ditetapkan pada 8 Disember depan.

Beberapa minggu selepas pelantikan Ismail sebagai perdana menteri, beberapa keputusan mahkamah yang memihak kepada Najib menyebabkan muncul dakwaan bekas perdana menteri itu diberi layanan istimewa.

Najib berada di bawah larangan perjalanan sejak 2018 namun baru-baru ini beliau berjaya mendapatkan semula pasport peribadinya untuk pergi ke Singapura akhir bulan ini.

Bulan lalu, beliau juga berjaya dalam rayuannya terhadap Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi menangguhkan pembayaran kira-kira RM1.7 bilion tunggakan cukai kepada kerajaan.

Pada Ogos, kira-kira RM114 juta wang tunai yang dirampas pada 2018 telah dikembalikan kepada beliau berikutan kegagalan kerajaan dalam pelucuthakan wang tersebut yang dikatakan diselewengkan dari 1MDB.

Mahathir berkata Najib sepatutnya menjalani hukuman atau membayar denda RM200 juta sementara menunggu keputusan rayuannya.

“Apabila seseorang itu didapati bersalah, dia bersalah sehingga mahkamah rayuan memutuskan bahawa dia tidak bersalah. Tetapi mahkamah rayuan tidak memutuskan bahawa dia tidak bersalah. Oleh itu, dia bersalah dan dia harus menjalani hukumannya. Tetapi dia dilayan seperti orang yang tidak bersalah, tidak membayar denda atau dipenjarakan.”

Beliau berkata pendedahan baru-baru ini mengenai rancangan untuk meluluskan permohonan Najib mendapatkan harta bernilai RM100 juta sebagai ganjaran daripada kerajaan turut menunjukkan kegagalan pentadbiran Ismail untuk mematuhi kesaksamaan dan kedaulatan undang-undang.

“Memang, perdana menteri bersara lain dianugerahkan rumah lama kerajaan sebagai mengiktiraf perkhidmatan mereka. Mereka tidak melakukan apa-apa jenayah dan tidak didapati bersalah mencuri wang kerajaan.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles