- Iklan -
Berita

GPS akan selesaikan pertindihan tuntutan 3 kerusi menjelang PRN Sarawak

Tiga kerusi tersebut adalah Opar, Mambong dan Bawang Assan.

Nur Shazreena Ali
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi GPS Abang Johari Openg ketika bercakap mengenai PRN Sarawak hari ini. Gambar: Bernama
Pengerusi GPS Abang Johari Openg ketika bercakap mengenai PRN Sarawak hari ini. Gambar: Bernama

Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang membentuk kerajaan negeri itu meredakan kebimbangan berhubung pertindihan tuntutan kerusi menjelang pilihan raya negeri (PRN), mengatakan rundingan akan diadakan bagi menyelesaikan isu tersebut.

Pengerusinya, Abang Johari Openg berkata GPS akan terus berkhidmat sebagai satu pasukan menjelang PRN, termasuk di tiga kerusi – Opar, Mambong dan Bawang Assan.

“Mungkin ada sedikit masalah dengan Mambong,” katanya ketika diminta mengulas pertikaian mengenai tiga kerusi itu.

“Tetapi kita akan bincangkan perkara ini kemudian. Ini hanya isu tiga kerusi, tiga dari 82, 79 kerusi lain masih baik. Kita boleh selesaikan isu tersebut.”

Beliau juga berkata kebimbangan mengenainya terlalu awal dibangkitkan kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya akan bermesyuarat mengenai PRN Sarawak pada esok.

Opar, Mambong dan Bawang Assan adalah kerusi tradisi SUPP.

Pada 2014, Wong Soon Koh, yang merupakan penyandang kerusi Bawang Assan, telah keluar dari parti itu dan menubuhkan parti serpihan yang dikenali sebagai Parti Rakyat Bersatu (UPP).

Empat ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) – Tiong Thai King (Dudong), Ranum Mina (Opar), Dr Jerip Susil (Mambong) dan Johnichal Rayong (Engkilili) – turut menyertai UPP.

Pada waktu itu, UPP mengekalkan hubungan mesra dengan gabungan kerajaan, Barisan Nasional (BN), kelima-lima mereka bertanding pada PRN 2016 di bawah logo BN Sarawak.

Namun tsunami politik yang melanda seluruh negara semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 menyaksikan beberapa ahli Parlimen bertindak mengalihkan sokongan mereka.

Kekalahan mengejut BN juga menyaksikan empat parti negeri itu membentuk GPS pada Julai 2018.

Setahun kemudian, sekutu GPS, Wong yang merupakan presiden UPP, meletak jawatan dari Kabinet dan menjenamakan semula UPP sebagai Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Namun PSB mengambil pendirian untuk berpisah dari GPS manakala bekas timbalan presidennya Jerip Susil yang merupakan Adun Mambong meletakkan jawatan dari parti itu dan kemudiannya menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu.

Di ambang PRN Sarawak ke-12, kerusi Mambong kini menjadi pertikaian kerana penyandangnya, Jerip bersama PBB sementara SUPP tetap menuntut kerusi tradisinya.

Terdapat juga spekulasi pemimpin dan ahli PBB di Opar dan Bawang Assan berminat untuk mengambil alih kerusi itu dari PSB di kedua-dua kerusi DUN tersebut.