Monday, December 6, 2021

Cuti panjang buatkan remaja kampung Sarawak hilang semangat ke sekolah

Ramai yang habiskan masa di ladang, mengusahakan tanah dan semakin jauh dari kelas mereka.

Other News

Tiga hari seminggu, Sahli bekerja di ladang sagu bapanya, menebang pokok dan mengangkut batang sagu dari ladang ke tepi jalan untuk dikumpul.

Beliau menyertai penduduk Kampung Senau di Oya yang menuju ke ladang milik mereka pada awal pagi untuk memangkas pokok dan menebang batang yang ditanda bagi tujuan tersebut.

Setelah semua batang sagu diangkut ke jalan raya, Sahli menunggu orang tengah yang datang dengan lori untuk mengangkutnya ke kilang sagu.

Ia adalah kerja berat untuk remaja 15 tahun itu, namun dia sudah biasa dengan kehidupan sedemikian.

Begitulah rutinnya setiap hari sejak sekolah di kawasan itu ditutup akibat pandemik Covid-19 tahun lalu.

Pembelajaran di sekolahnya, seperti sekolah lain, mula beralih daripada fizikal kepada digital (PdPR) bagi memastikan pembelajaran diteruskan untuk pelajar.

Ibu bapa Sahli berjaya mengumpulkan duit untuk membelikan telefon pintar supaya dia boleh terus menghadiri kelas dalam talian sekolahnya.

Namun, pendidikan Sahli masih terganggu dan dia lebih banyak menghabiskan masa di ladang itu.

Penanaman sagu merupakan cara hidup masyarakat Melanau yang tinggal di bahagian tengah perkampungan pesisir pantai Sarawak.

Mata pencarian mereka bergantung kepada pokok sagu yang banyak tumbuh di kawasan berpaya di sepanjang tebing sungai Batang Oya.

Sahli, seperti ramai remaja Melanau lain di kawasan itu, bekerja di ladang sejak kecil, mewarisi kerja tersebut daripada keluarganya sejak beberapa generasi.

Bercakap kepada MalaysiaNow, ibu Sahli, Jemaah berkata, dia dan suami berusaha untuk melakukan yang terbaik bagi memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan yang baik walaupun terpaksa bekerja di ladang.

Tetapi ini bukanlah tugas yang mudah, dan wabak menyebabkan kebanyakan sektor ekonomi dan sosial ditutup untuk tempoh yang lama sepanjang dua tahun lalu menjadikan kerja-kerja tersebut lebih sukar.

“Bagi petani kecil seperti kami, kami perlu berhati-hati dengan perbelanjaan kerana Covid-19 menyebabkan kami terpaksa membeli barangan seperti cecair sanitasi dan topeng muka untuk kegunaan harian,” kata Jemaah.

“Saya hanya perlu pastikan anak-anak saya kembali ke sekolah,” tambahnya.

Baginya, pendidikan adalah penting.

Namun, walaupun anaknya memiliki telefon pintar, dia masih bergelut bagi mengikuti kelas secara dalam talian.

Kebanyakan mereka yang berkemampuan beralih ke kelas-kelas persendirian sepanjang pelbagai peringkat sekatan pergerakan.

Tetapi bagi keluarga berpendapatan rendah seperti keluarga Sahli yang bergantung kepada gaji harian, untuk membayar kos bil internet pun akan menyebabkan perubahan besar kepada perbelanjaan isi rumah.

Pada hujung minggu dan cuti umum pula, remaja-remaja yang masih bersekolah turut keluar untuk membantu ibu bapa mereka di ladang dan membuat kerja-kerja sampingan di ladang kelapa sawit untuk mendapatkan sedikit pendapatan.

Semakin lama sekolah ditutup akibat wabak, semakin banyak masa yang perlu dihabiskan Sahli dan rakan-rakannya di ladang.

Jemaah bimbang jika sekolah dibuka semula secara normal seperti sebelum pandemik, anak-anaknya mungkin hilang semangat untuk belajar.

“Walaupun Sahli berada di rumah, dia tidak boleh akses internet kerana kami tidak mampu untuk bayar data tambahan internet,” katanya.

Dan sekiranya, secara kebetulan, anak-anaknya boleh mengikuti salah satu kelas mereka, jarang sekali anaknya itu dapat memahami apa yang mereka belajar.

“Tak guna,” kata Jemaah.

“Sahli sering beritahu saya bahawa dia berasa letih.”

Jemaah sangat berharap dapat membantu anak-anaknya memahami apa yang mereka pelajari.

Namun hal itu adalah mustahil bagi dia dan suami.

Hal ini kerana pasangan itu buta huruf.

Bagaimanapun, ia tidak menghalangnya daripada terus berharap.

“Saya harap saya boleh bantu mengajar anak-anak saya,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles