- Iklan -
Berita

AS gesa warga tidak lakukan perjalanan ke Jerman, Denmark

Lonjakan kes di dua negara Eropah itu menjadikan AS mengambil langkah berjaga-jaga.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang warga emas di pusat saringan Covid-19 di Jerman. Eropah menyaksikan peningkatan kes sejak awal Oktober. Gambar: AP
Seorang warga emas di pusat saringan Covid-19 di Jerman. Eropah menyaksikan peningkatan kes sejak awal Oktober. Gambar: AP

Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) menggesa warga negara itu tidak melakukan perjalanan ke Jerman dan Denmark berikutan lonjakan kes Covid-19 di Eropah.

Jabatan itu mengeluarkan nasihat perjalanan Tahap Empat iaitu tahap tertinggi untuk kedua-dua negara, sekali gus menunjukkan tahap Covid-19 yang sangat tinggi di negara berkenaan.

Bakal pengembara juga diberi amaran terdapat sekatan yang menjejaskan kemasukan warga AS ke Denmark.

Eropah kembali menjadi rantau penularan wabak ekoran program vaksinasi yang dijalankan pada kadar perlahan di beberapa negara selain penyebaran varian Delta yang mudah menular dan cuaca sejuk.

Di Jerman, negara yang memiliki populasi paling ramai di Kesatuan Eropah (EU), merekodkan hanya 68% penduduknya lengkap vaksinasi.

Negara itu menggesa semua individu dewasa yang diberi vaksin untuk mendapatkan suntikan dos penggalak bagi menangani keberkesanan vaksin yang semakin berkurangan selepas enam bulan.

“Kemungkinan menjelang penghujung musim sejuk ini, mungkin agak sinis kenyataan saya, hampir semua orang di Jerman akan diberi vaksin, disembuhkan atau mati,” kata Menteri Kesihatan Jerman Jens Spahn.

Canselor Jerman Angela Merkel turut berkata langkah-langkah pembendungan Covid di negara itu “masih tidak cukup” walaupun melaksanakan larangan akses individu tidak divaksin di beberapa tempat awam.

Jerman juga kini mencatatkan penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) yang tinggi menyebabkan kerajaan mengumumkan sekatan pergerakan baru selain menutup beberapa sektor termasuk pasar perayaan Krismas.