- Iklan -
Berita

Tinggalkan BN ada hikmah, kata KM Sarawak selepas kemenangan di Melaka

Abang Johari Openg berkata Sarawak mungkin tidak ada suara jika pemimpinnya masih bersama BN.

Nur Shazreena Ali
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg. Gambar: Bernama
Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg. Gambar: Bernama

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg berkata negeri itu mungkin tidak memiliki suara jika Gabungan Parti Sarawak (GPS) kekal bersama Barisan Nasional (BN), sehari selepas kemenangan bergaya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Bercakap pada acara pecah tanah di Kuching, Abang Johari berkata pemimpin Sarawak tidak memiliki pilihan melainkan hanya menurut semua arahan daripada kerajaan pusat di bawah pentadbiran BN.

“Krisis politik di peringkat nasional menyebabkan kita ambil keputusan tinggalkan BN,” katanya.

“Dengan prinsip asas BN sebarang keputusan mesti dipersetujui secara konsensus, tidak ada ruang untuk kita bangkitakan isu atau membantah sesuatu yang kita tidak setuju.

“Sebab itu kami putuskan untuk keluar dari BN. Kini GPS boleh bersuara dalam apa jua isu. Kami boleh jaga negeri. Siapa yang lebih kenal Sarawak selain kami? Tiada siapa boleh halang, tiada siapa boleh kata tidak kepada kami. Kami akan terus perjuangkan hak Sarawak.”

GPS yang terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), ditubuhkan berikutan kekalahan mengejut BN pada pilihan raya umum 2018.

Berhubung keputusan PRN Melaka semalam, Abang Johari berkata mesej jelas disuarakan kepada pemimpin politik.

“Pertama, rakyat menolak ‘katak’. Kedua, rakyat mahu kerajaan yang stabil dan fokus selesaikan masalah ekonomi dan kesihatan.”

Beliau juga bercakap mengenai parti “kosong”, dipercayai merujuk kepada PKR yang kalah di semua kerusi yang ditandinginya.

“Tetapi mahu datang ke Sarawak juga,” katanya.

“Jadi kita perlu belajar daripada apa yang terjadi ini.”

Ulasan beliau tersebut tampil susulan pertemuan Presiden PKR Anwar Ibrahim dengan pemimpin dan penyokong parti itu di Sarawak semalam.

Pada PRN Melaka, BN memenangi 21 dari 28 kerusi Dewan Undangan Negeri. Umno memenangi 18 kerusi, dua dimenangi MCA dua satu kerusi dimenangi MIC.

Semantara itu, Pakatan Harapan hanya memenangi lima kerusi, empat daripadanya dimenangi DAP dari lapan kerusi yang ditandinginya.

Perikatan Nasional pula memenangi dua kerusi diwakili Bersatu.