- Iklan -
Berita

Rauf sokong Sulaiman sebagai KM Melaka

Ab Rauf Yusoh menafikan khabar kononnya terdapat bantahan terhadap pelantikan Sulaiman Md Ali sebagai ketua menteri.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Barisan Nasional Melaka Ab Rauf Yusoh. Gambar: Bernama
Pengerusi Barisan Nasional Melaka Ab Rauf Yusoh. Gambar: Bernama

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka, Ab Rauf Yusoh menafikan khabar angin bahawa terdapat tentangan terhadap pelantikan Sulaiman Md Ali sebagai ketua menteri.

Beliau berkata, kesemua ketua-ketua bahagian parti itu di negeri ini sebulat suara menyokong penuh pelantikan itu sebagaimana dinyatakan sebelum ini.

”Saya ingin maklumkan bahawa kami tiada masalah, kita telah bersama-sama mendapat kerajaan yang stabil. Oleh itu saya menolak yang kononnya ada kemelut antara kami yang menentang ketua menteri sedia ada

”Kesemua kami (ketua-ketua bahagian), termasuklah saya selaku pengerusi Badan Perhubungan Umno akan berikan sokongan penuh kepada kepimpinan Sulaiman sebagai Ketua Menteri Melaka,” katanya pada sidang media malam tadu.

Beliau juga menegaskan lantikan Sulaiman menunjukkan kepercayaan rakyat Melaka dengan kerjasama semua ketua bahagian Umno untuk memastikan selepas ini mereka bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

”Fokus kini adalah berhubung pentadbiran kerajaan negeri yang baharu dan kami tiada masalah kerana kita telah mendapat sebuah kerajaan yang stabil,” katanya.

Dalam pada itu, Ab Rauf menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti itu sama ada mahu menggunakan model parti itu pada PRU15 sehingga membawa kejayaan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Katanya, penampilan 86% muka baru dalam PRN kali ini terbukti membuahkan hasil apabila rakyat dan pucuk pimpinan BN dapat menerima formula itu dan diterjemahkan melalui keputusan PRN semalam.

Sulaiman mengangkat sumpah sebagai ketua menteri selepas Barisan Nasional berjaya memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi parti itu.