- Iklan -
Berita

Pakar automotif jelaskan siapa terima faedah insentif kenderaan elektrik

Di Malaysia, EV lebih dilihat sebagai produk 'gaya hidup' dan bukannya keperluan.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Pandangan dari udara aliran trafik sesak dari arah Kuchai Lama menuju ke Sungai Besi. Walaupun harga kenderaan elektrik menurun susulan Belanjawan 2022,  namun ia masih mencecah harga ratusan ribu, menjadikan ia hanya sesuai dibeli golongan berpendapatan tinggi.
Pandangan dari udara aliran trafik sesak dari arah Kuchai Lama menuju ke Sungai Besi. Walaupun harga kenderaan elektrik menurun susulan Belanjawan 2022, namun ia masih mencecah harga ratusan ribu, menjadikan ia hanya sesuai dibeli golongan berpendapatan tinggi.

Pengumuman kerajaan pada Belanjawan 2022 mengenai pemberian insentif bagi pemilikan kenderaan elektrik (EV) tidak bermaksud harga kenderaan itu akan menjadi murah dan mampu dibeli oleh semua golongan, kata pakar.

Mereka berkata, walaupun harganya menyaksikan penurunan, namun ia masih mencecah harga sehingga ratusan ribu ringgit, menjadikan ia hanya sesuai dibeli golongan berpendapatan tinggi.

Menjelaskan perkara itu, beberapa pakar automotif berkata, niat kerajaan mengumumkan insentif itu adalah untuk membantu pemain industri meningkatkan jualan selepas berdepan kesukaran untuk merancakkan jualan EV di Malaysia.

Penganalisis automotif, Chips Yap, berkata penghasilan EV menelan kos perbelanjaan yang tinggi kerana ia merupakan teknologi baru berbanding teknologi enjin pembakaran.

Malah, katanya, syarikat pengeluar kereta membelanjakan sehingga berbilion ringgit dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk memperkenalkan teknologi itu dan kini mereka masih belum berjaya mengutip modal pelaburan tersebut.

“Ia tidak sama seperti kereta enjin pembakaran yang mana teknologinya sudah ‘matang’ kerana dibangunkan sejak lebih 100 tahun,” kata Yap yang juga pengarah urusan Kumpulan PISTON.MY kepada MalaysiaNow.

“Oleh itu, syarikat pengeluar memerlukan bantuan dari kerajaan untuk bantu memudahkan urusan jualan EV terutama pada peringkat awal ini, membolehkan ia dijual pada harga yang lebih murah menerusi pelbagai insentif.”

Pada pembentangan Belanjawan 2022 pada Oktober lalu, kerajaan bercadang memberikan pengecualian sepenuhnya ke atas duti import, duti eksais dan cukai jualan bagi EV serta pengecualian cukai jalan sehingga 100 peratus.

Di samping itu, pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM2,500 turut diberikan ke atas kos pembelian dan pemasangan, sewaan dan sewa beli kemudahan serta bayaran yuran langganan kemudahan pengecasan EV.

Yap berkata, walaupun dengan pengecualian cukai itu, harga EV tidaklah seperti yang disangka ramai.

Katanya, indikasi pertama ialah jangkaan harga Hyundai Kona Electric yang akan mula dijual pada November.

“Walaupun syarikat itu menyatakan harganya akan kurang daripada RM150,000, tetapi kemungkinan besar harganya akan kekal di paras itu selepas dicampur dengan insurans.

“Dengan harga itu, ia masih tidak cukup rendah. Jika matlamatnya adalah untuk mempopularkan EV dalam kalangan rakyat Malaysia, maka harganya perlu setaraf sekurang-kurangnya model Toyota Vios atau Honda City,” tambahnya.

Susulan pengumuman oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz, terdapat juga maklum balas daripada beberapa pihak yang tidak berpuas hati kerana merasakan langkah pemberian insentif itu hanya menguntungkan golongan “kayangan”.

Menjawab kritikan tersebut, penganalisis automotif, Hezeri Samsuri, berkata agak mustahil untuk syarikat pengeluar EV menawarkan harga serendah kenderaan berharga mampu milik kerana akan mendatangkan kerugian besar.

Katanya, tidak masuk akal untuk syarikat menawarkan produk yang hanya akan merugikan mereka, justeru, pengeluar kereta selaku “penjual” perlu mengambil kira margin keuntungan sebelum menawarkan sebarang produk di pasaran.

“EV adalah satu teknologi baru dan ia menggunakan bahan-bahan ‘eksotik’. Pada permulaan harganya memang tinggi, tetapi bila permintaan bertambah, harganya akan jadi lebih mampu milik.

“Cuma buat masa sekarang di Malaysia, ia lebih menarik kepada golongan T20 dan mereka yang mahukan satu kelainan kerana tida ada sebab kukuh untuk bertukar kepada EV,” katanya kepada MalaysiaNow.

Bagaimanapun, beliau berkata, masih ada jalan untuk golongan berpendapatan sederana (M40) untuk membeli EV pada harga lingkungan RM40,000 tetapi ia hanya EV kategori terpakai.

“Selagi tidak ada undang-undang ketat yang menghukum kenderaan yang mengeluarkan asap dan selagi harga bahan api masih rendah, EV di Malaysia akan kekal sebagai kenderaan gaya hidup,” tambahnya.