Wednesday, December 1, 2021

Ketua DAP Sarawak tolak beri lebih banyak kerusi kepada PKR

Chong Chieng Jen berkata PH memuktamadkan pembahagian kerusi di Sarawak awal tahun ini.

Other News

Pakatan Harapan (PH) Sarawak menolak sebarang tambahan peruntukan kerusi untuk PKR bagi pilihan raya negeri (PRN) yang bakal diadakan, selepas pengerusinya, Anwar Ibrahim berkata perbincangan mengenainya masih berjalan.

Chong Chieng Jen, yang juga merupakan pengerusi DAP Sarawak berkata perbincangan mengenai peruntukan kerusi dimuktamadkan pada awal Januari lalu, dengan persetujuan PKR bertanding di 47 dari 82 kerusi.

Beliau berkata persetujuan tersebut masih sah walaupun ia ditandatangani oleh Larry Sng yang merupakan pengerusi PKR Sarawak ketika itu, namun kemudiannya bertindak keluar parti.

“Di bawah persetujuan itu, PKR akan bertanding di 47 kerusi, tetapi kini parti itu mahu lebih kerusi – 48, 49, malahan 50 kerusi.

“Sedangkan persetujuan mengenai peruntukan kerusi untuk parti komponen PKR dan Amanah di Sarawak dicapai pada 2 Januari. Walaupun selepas Sng keluar parti, perstujuan itu masih sah dan semua terikat dengannya,” kata Chong.

Anwar yang juga merupakan presiden PKR, baru-baru ini berkata PH akan meneruskan rundingan pembahagian kerusi, termasuk peruntukan untuk Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Namun Chong berkata DAP membuat keputusan tegas parti komponen PH mencapai kata sepakat untuk menyelesaikan peruntukan kerusi bagi PRN Sarawak.

“Kerana itu, tempohari Anwar kata ada rundingan sedang dijalankan. Tetapi kita sudah ada rancangan yang telah dipersetujui, itu perjanjian yang ditandatangani awal tahun ini,” katanya.

“Setahu saya, dalam PH Sarawak, satu persetujuan dicapai.”

Ketika ditanya sama ada PH Sarawak masih terbuka untuk berbincang mengenai kerjasama dengan PSB, Chong berkata penilaian mesti dibuat sama ada parti itu ikhlas untuk membentuk pakatan, sambil menambah PSB mempunyai rekod prestasi sebagai “parti katak”.

Namun Chong yang merupakan Adun Kota Sentosa, tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama dengan PSB dan parti pembangkang lain dalam PRN akan datang.

“DAP mahu bekerjasama dengan parti pembangkang yang tulen,” katanya.

“Jadi kita kena mempertimbangkan semua faktor. Sebagai contoh, kita tahu bahawa calon PSB gemar melompat dari satu parti ke parti lain.

“Tetapi kadangkala dalam politik kita memerlukan fleksibiliti. Jadi kita perlu menilai sama ada mereka akan kekal sebagai pembangkang selepas pilihan raya.”

Beliau turut menambah, perkara ini memerlukan orang yang sanggup terlibat dalam rundingan yang teliti selain berkata lebih bagus sekiranya proses itu dapat dilakukan lebih awal.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles