Wednesday, December 1, 2021

Bekas ketua hakim ingatkan Umno tolak slogan ‘Hidup Bossku’, mahu Zahid disingkir

Menurut Abdul Hamid, orang Melayu sudah memberikan peluang kedua kepada Umno untuk ia lakukan perubahan.

Other News

Bekas ketua hakim negara Abdul Hamid Mohamad hari ini mengingatkan penyokong Umno untuk menolak pemimpin terpalit skandal selepas parti itu menang bergaya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Hamid, yang bersara sebagai ketua hakim negara pada 2008 selepas 50 tahun berkhidmat dalam badan kehakiman, mengkritik Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan penyokongnya yang memekik slogan “Hidup Bossku” bagi meraikan kemenangan pada Sabtu lalu.

Slogan tersebut sinonim dengan Najib Razak sebagai sebahagian penjenamaan semula imejnya selepas tumbang dari tampuk pentadbiran kerajaan pada 2018 dan dikenakan pelbagai pertuduhan salah guna kuasa dan rasuah.

“Ia memakan diri sendiri (counter-productive). Kita perlu memikirkan akibatnya sebelum berbuat sesuatu, bukan mengikut emosi,” kata Hamid dalam satu tulisan panjang bertajuk “Keputusan PRN Melaka: Pengajaran Kepada Parti-parti Melayu Dalam PRU15?” hari ini.

Barisan Nasional (BN) mendominasi kemenangan PRN Melaka dengan memenangi 21 dari 28 kerusi yang ditandinginya.

Hamid mengingatkan liabiliti kepimpinan Umno yang terpalit skandal selain berkata pimpinan seperti Zahid, yang turut berdepan pelbagai pertuduhan rasuah perlu disingkirkan.

Bekas ketua hakim negara Abdul Hamid Mohamad.

Hamid turut berkata, pimpinan Umno perlu melakukan perubahan untuk menarik semula pengundi yang menjauhi parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, mengatakan Zahid perlu berundur demi mencapai matlamat tersebut.

“Orang Melayu masih mahukan Umno tetapi mereka mahu Umno berubah.

“Untuk berubah, Zahid perlu berundur atau disingkirkan daripada menjadi presiden Umno. Demikian juga pemimpin Umno yang menjadi liabiliti kepada Umno,” katanya.

 

Menurut Hamid, orang Melayu sanggup memejamkan mata seketika daripada melihat “sejarah hitam Umno” yang dikalahkan dalam PRU14 yang lalu untuk melihat parti itu dibersihkan daripada amalan rasuah dan salah guna kuasa.

“Pengajaran paling penting kepada Umno ialah ia mesti sedar orang Melayu memberinya peluang sekali lagi.

“Pemimpin-pemimpin dan ahli-ahlinya janganlah angkuh dan mengulangi amalan politik wang yang menjadi kanser dari dalam.”

Hamid menambah pengundi Melayu menunjukkan bahawa mereka serik dengan pemerintahan PH selama 22 bulan sebelum ini dan mereka muak dengan politiking yang melampau dan tidak menerima perbuatan lompat melompat parti demi kepentingan diri.

“Orang Melayu sudah bosan dengan kerenah Anwar Ibrahim.

“Eloklah beliau melupakan cita-citanya untuk menjadi perdana menteri dan bersara daripada politik,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles