- Iklan -
Berita

Masih terlalu awal untuk BN putuskan bergerak solo pada PRU15, kata KJ

BN perlu mengkaji lebih mendalam statistik 65% pengundi yang keluar mengundi semalam sebelum memutuskan sama ada akan bergerak secara solo atau sebaliknya.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang juga merupakan ahli Parlimen Rembau.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang juga merupakan ahli Parlimen Rembau.

Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin berpandangan masih terlalu awal Barisan Nasional (BN) untuk memutuskan bergerak secara solo pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Beliau berkata meskipun parti itu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, namun BN perlu mengkaji lebih mendalam statistik 65% pengundi yang keluar mengundi semalam sebelum memutuskan sama ada akan bergerak secara solo atau sebaliknya pada PRU akan datang.

“Kita kena terima hakikat bahwa PRN Melaka purata hanya 65% sahaja keluar mengundi dan 35% tidak keluar mengundi.

“Dalam apa jua keputusan yang akan dibuat, kita kena fikirkan soal sama ada Melaka ini adalah representasi kepada PRU atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan pemberian aset di Pejabat Kesihatan Daerah Rembau di Rembau.

Khairy seterusnya mengucapkan tahniah kepada jentera parti BN yang dipimpin oleh Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan serta Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Ab Rauf Yusoh dan Ketua Menteri Sulaiman Md Ali, atas kemenangan 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Melaka semalam.

“Secara keseluruhannya pematuhan prosedur operasi standard (SOP) berjalan lancar walaupun ada beberapa kes lain, tetapi boleh tahan… sederhana (pematuhan SOP).

“Setakat ini semua parti berjaya menyesuaikan diri dengan kempen yang baru, ini adalah satu model untuk PRN Sarawak nanti,” katanya.