- Iklan -
Berita

Kalah PRN, pengerusi DAP Melaka letak jawatan

Tey Kok Kiew berkata keputusan meletakkan jawatan dibuat atas dasar bertanggungjawab terhadap keputusan PRN Melaka.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi DAP Melaka Tey Kok Kiew. Gambar: Facebook
Pengerusi DAP Melaka Tey Kok Kiew. Gambar: Facebook

Pengerusi DAP Melaka Tey Kok Kiew mengumumkan peletakan jawatannya selepas parti itu hanya menang empat dari lapan kerusi yang ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, semalam.

Sambil meminta maaf kepada ahli DAP, Tey berkata keputusan meletakkan jawatan dibuat atas dasar bertanggungjawab terhadap keputusan PRN itu.

Beliau berkata surat peletakan jawatan akan diserahkan kepada Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng esok.

“Ini adalah keputusan peribadi saya dan saya mahu memohon maaf kepada ahli DAP, rakan seperjuangan DAP dan penyokong kerana tidak mencapai sasaran yang diharapkan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Tey berkata walaupun meletak jawatan, beliau kekal sebagai ahli DAP dan berharap ahli lain terus memberi sokongan terhadap perjuangan parti itu di Melaka.

Pada PRN Melaka semalam, DAP hanya menang empat daripada lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan iaitu Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir.

Tey juga tewas kepada calon Perikatan Nasional Mohd Yadzil Yaakub di DUN Bemban yang memperoleh 4,211 undi dengan undi majoriti 328.