- Iklan -
Berita

PRN Melaka saksikan peratusan pengundi 65.85%

Angka itu adalah jauh rendah daripada jangkaan 70% oleh SPR.

Ahmad Mustakim Zulkifli dan Azzman Abdul Jamal
1 minit bacaan
Kongsi
Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya membuat semakan seorang pengundi sebelum pembuang undi di Sekolah Menengah Canossa Convent di Kampung Portugis.
Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya membuat semakan seorang pengundi sebelum pembuang undi di Sekolah Menengah Canossa Convent di Kampung Portugis.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-15 menyaksikan jumlah peratusan pengundian sebanyak 65.85% atau 326,068 daripada 495,195 pengundi selepas ditutup pada jam 5.30 petang.

Jumlah itu adalah lebih rendah daripada jangkaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang meramalkan 70% peratusan keluar mengundi.

Berdasarkan peratusan undi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka menyaksikan peratusan undi melebih 80%.

Pemerhatian MalaysiaNow dan hasil wawancara yang dilakukan sepanjang tempoh berkempen sejak 8 November lalu, jumlah peratusan undi sememangnya dijangka rendah ekoran kebimbangan penularan Covid-19 selain pengundi tidak “bersemangat” untuk keluar mengundi.

Dalam tempoh minggu ini, Melaka menyaksikan kadar penggunaan katil hospital untuk kes Covid-19 meningkat kepada 84.2%, ketiga tertinggi selepas Labuan dan Terengganu.

Ini dipercayai menjadi antara punca pengundi dari luar kawasan bimbang untuk pulang ke kawasan undi masing-masing kerana takut kes Covid-19 akan meningkat sekali gus memaksa kerajaan untuk melaksanakan lagi perintah kawalan pergerakan (PKP).

Malah, kajian badan tinjauan bebas Ilham Centre baru-baru ini, turut mendapati pengundi merasakan pilihan raya ini tidak wajar diadakan namun disebabkan pertelingkahan politik, akhirnya mengheret rakyat untuk mengundi.

“Gabungan semua elemen ini menyumbang kepada kesuraman ketika kempen dan dikhuatiri menyebabkan peratusan keluar mengundi yang rendah iaitu di bawah 70% seperti mana disasar oleh SPR,” kata Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar.