- Iklan -
Berita

PBB akan letak muka baru di lebih 40 kerusi yang ditandingi dalam PRN Sarawak

Pemimpin PBB Abdul Karim Rahman Hamzah berkata langkah tersebut penting bagi memberi peluang kepada calon muda untuk bertanding.

Nur Shazreena Ali
2 minit bacaan
Kongsi
Naib Presiden PBB Abdul Karim Rahman Hamzah. Gambar: Bernama
Naib Presiden PBB Abdul Karim Rahman Hamzah. Gambar: Bernama

Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak akan bertanding di 47 dari 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dengan meletakkan 20% wajah baru di kawasan ditandinginya.

Naib Presiden PBB Abdul Karim Rahman Hamzah berkata muka baru mungkin bertanding di kawasan separa bandar sambil menambah adalah penting bagi calon muda diberi peluang bertanding.

“Akan ada ramai calon berumur dalam lingkungan 30-an,” katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai barisan muka baru parti itu selepas mesyuarat Majlis Tertinggi PBB malam tadi.

Beliau menambah apa yang “pasti” akan ada beberapa calon daripada sayap belia dan wanita parti itu.

“(Parti ini) akan sentiasa seperti itu.”

Karim berkata sebarang tindakan menggantikan penyandang kerusi DUN tidak mencerminkan kualiti perkhidmatan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di kawasan mereka.

“Namun saya rasa keadaan-keadaan ketika ini menyebabkan mereka perlu diganti dengan calon baru demi parti dan negeri,” katanya.

Bagaimanapun, beliau enggan memperincikan jumlah wanita yang akan diletakkan sebagai calon.

“Seboleh-bolehnya parti akan pastikan jumlah calon yang mewakili PBB tidak akan berkurang,” katanya.

Walaupun bilangan calon wanita meningkat dari 15 orang pada 2011 kepada 22 pada PRN 2016, beliau berkata, kadar bilangan calon wanita dalam DUN Sarawak masih rendah.

“Tetapi bukan mudah untuk mendapatkan calon baru kerana wanita biasanya suri rumah. Agak sukar bagi mereka, tetapi kita sentiasa boleh melatih mereka,” tambahnya.

“Mesti ada yang mahu berkhidmat kepada masyarakat. Mereka inilah yang kita mahu cari, mereka yang mahu menyumbang kepada masyarakat sebagai ahli politik.”

Wanita yang kini menjadi Adun Sarawak dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) termasuk Fatimah Abdullah (Dalat), Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali (Samariang), Rosey Yunus (Bekenua), Jamilah Anu (Tanjung Datu), Simoi Peri (Lingga).

Sementara dua Adun wanita lain Irene Mary Chang (Bukit Assek) dan Violet Yong (Pending) adalah dari DAP.