- Iklan -
Berita

Harap kerjasama di peringkat persekutuan kekal, kata pemimpin PAS

Khairuddin Aman Razali berkata menang dan kalah merupakan adat pilihan raya.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Kuala Nerus Mohd Khairuddin Aman Razali.
Ahli Parlimen Kuala Nerus Mohd Khairuddin Aman Razali.

Seorang pemimpin PAS berharap agar kerjasama Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) di peringkat persekutuan tidak tergugat dengan keputusan Pilihan Raya Negeri Melaka (PRN).

Ahli Parlimen Kuala Nerus Mohd Khairuddin Aman Razali dari PAS berkata, menang dan kalah adalah adat pilihan raya.

“Biasalah pilihan raya ada menang kalah, apa pun terjadi kita harap kerjasama di peringkat persekutuan akan kekal,” katanya ringkas ketika ditemui media hari ini.

BN dan PN masih membentuk kerajaan pusat dengan Gabungan Parti Sarawak.

Namun BN dan PN bertembung dalam PRN Melaka selepas rundingan kerusi antara Umno, PAS dan Bersatu gagal menemui kata sepakat.

Bekas menteri perusahaan, perladangan dan komoditi itu tewas pemilihan jawatankuasa PAS Pusat baru-baru ini selepas terkait dengan isu rakaman audio.

PAS masih merupakan rakan kongsi Umno dalam Muafakat Nasional (MN).

Persoalan timbul mengenai masa depan MN apabila BN berkemungkinan bergerak solo pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dijangka berlangsung pada tahun depan susulan keputusan PRN Melaka.

PAS yang memilih bersama PN tidak memenangi sebarang kerusi pada PRN Melaka.