- Iklan -
Berita

Putrajaya bentuk jawatankuasa teliti ‘hadiah’ untuk Najib

Kerajaan berkata cadangan untuk menganugerahkan tanah kepada bekas perdana menteri belum dimuktamadkan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan bangunan pencakar langit di Kuala Lumpur menjadi latar suasana Bukit Petaling, di mana sekitar 2.8 ekar tanah dikhususkan untuk pembinaan sebuah rumah untuk bekas perdana menteri Najib Razak yang disabitkan kesalahan rasuah.
Pemandangan bangunan pencakar langit di Kuala Lumpur menjadi latar suasana Bukit Petaling, di mana sekitar 2.8 ekar tanah dikhususkan untuk pembinaan sebuah rumah untuk bekas perdana menteri Najib Razak yang disabitkan kesalahan rasuah.

Putrajaya akan membentuk jawatankuasa khas untuk meneliti cadangan supaya Najib Razak dianugerahkan tanah dan rumah, susulan kekecohan berikutan pendedahan hartanah percuma tersebut bernilai RM100 juta.

“Peranan jawatankuasa adalah untuk menyemak cadangan garis panduan untuk memenuhi permintaan itu, termasuk kadar, syarat dan had maksimum atau kuantum, untuk penyediaan tanah dan rumah kediaman, di bawah Jadual Saraan Bekas Perdana Menteri, untuk pelaksanaan masa depan,” kata Menteri Undang-Undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam reaksi awal kerajaan terhadap kecaman orang ramai berhubung tindakan memberi ganjaran kepada bekas perdana menteri yang disabitkan pertuduhan jenayah tersebut, Wan Junaidi mengesahkan Najib sudah memilih satu dari tiga bidang tanah.

“Secara prinsipnya, Kabinet bersetuju meluluskan permohonan bekas perdana menteri berdasarkan haknya di bawah undang-undang.

“Bagaimanapun, saya mesti tegaskan keputusan ini tidak muktamad dan tertakluk kepada pertimbangan lanjut dan kelulusan akhir oleh kerajaan,” tambahnya.

Kenyataan itu dikeluarkan beberapa jam selepas Najib mengumumkan beliau menarik balik permohonan tersebut, berikutan kecaman orang ramai mengenai pendedahan butiran hadiah rumah percuma dilaporkan MalaysiaNow.

Semalam, Ahli Parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan Kabinet yang bersetuju untuk meluluskan permohonan seperti yang dilaporkan, mengingatkan bahawa Najib adalah pesalah kes jenayah yang sudah pun dijatuhi hukuman bagi kes rasuah tahun lepas.

Pada 12 November, MalaysiaNow melaporkan Najib memohon untuk mendapatkan sebidang tanah menggunakan keistimewaan yang termaktub dalam Akta Ahli Parliamen (Saraan), yang membenarkan beberapa pilihan elaun perumahan sebagai penghargaan kepada bekas perdana menteri.

Turut didedahkan tindakan Najib yang memilih pilihan elaun perumahan paling mahal yang ditawarkan kerajaan kepada beliau.

Tawaran tersebut termasuk plot tanah berkeluasan 120,000 kaki persegi dengan nilai pasaran hampir RM70 juta, di mana sebuah rumah akan dibina oleh kerajaan sehingga menelan belanja sebanyak RM100 juta termasuk nilai tanah tersebut.

Mempertahankan dirinya, Najib berkata beliau tidak mengetahui nilai tanah tersebut, bahkan mendakwa isu tersebut sengaja dibangkitkan ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sedang berjalan di mana beliau antara tokoh utama berkempen bagi calon Umno.

Difahamkan Najib kali pertama memohon keistimewaan tersebut dua tahun lalu, dan pada awal tahun ini beliau menyerahkan permohonan rasmi bagi tanah kosong tersebut yang terletak di Bukit Petaling, Kuala Lumpur untuk diberikan kepadanya sebagai penghargaan dari kerajaan.

Sumber MalaysiaNow berkata walaupun permohonan tersebut disokong Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, ia bagaimanapun menerima bantahan daripada beberapa menteri, termasuk Tengku Zafrul Aziz, Mohamed Azmin Ali, Khairy Jamaluddin dan Tuan Ibrahim Tuan Man yang merupakan pimpinan-pimpinan utama parti kerajaan.