- Iklan -
Berita

Pengerusi PN Melaka sokong Mas Ermieyati sebagai ketua menteri

Rafiq turut menyeru jentera PN terus berusaha bagi memastikan kemenangan semua calon.

Azzman Abdul Jamal
1 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional yang juga calon DUN Telok Mas Rafiq  Naizamohideen menyokong penuh pencalonan Mas Ermieyati sebagai ketua menteri Melaka.
Pengerusi Perikatan Nasional yang juga calon DUN Telok Mas Rafiq Naizamohideen menyokong penuh pencalonan Mas Ermieyati sebagai ketua menteri Melaka.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka, Mohd Rafiq Naizamohideen menyokong pencalonan Mas Ermieyati Samsudin sebagai ketua menteri sekiranya gabungan parti politik itu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-15.

Rafiq berkata pencalonan Mas Ermieyati tidak menjejaskan pendiriannya terhadap Bersatu atau kepimpinan parti itu dan beliau akan kekal konsisten meneruskan kempen sebagai calon PN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas.

“Saya sebagai pengerusi PN Melaka, memberikan sokongan sepenuhnya kepada keputusan tersebut dan saya meminta semua jentera PN di seluruh Melaka bekerja keras untuk memberi kemenangan bagi semua calon-calon PN,” katanya kepada pemberita hari ini selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al Khairiah, Telok Mas bersama Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin.

Semalam PN menerusi sidang media mengumumkan Mas Ermieyati yang juga calon bagi kerusi DUN Tanjung Bidara sebagai calon ketua menteri sekiranya gabungan politik itu berjaya memenangi PRN Melaka.

Sebelum ini, selain Mas Ermieyati, Rafiq yang juga naib presiden Bersatu merupakan antara nama yang disebut-sebut dipilih untuk jawatan itu.

Ditanya sekiranya nama beliau tidak dicalonkan sebagai ketua menteri disebabkan Bersatu menolak cadangan itu, Rafiq berkata itu hanyalah spekulasi.

Selain itu, beliau juga tidak bersetuju dengan dakwaan pemimpin DAP, Lim Guan Eng bahawa keputusan PN tidak mencalonkannya sebagai ketua menteri kerana ia merupakan petanda parti itu akan kalah di DUN tersebut.

“Itu hanyalah pendapat peribadi Lim Guan Eng. Saya tidak mahu ulas apakah asas yang dibuat oleh beliau.

“Tetapi saya yakin yang saya sudah turun dan berjumpa secara tidak langsung pengundi di masjid, surau dan warung. Sokongan terhadap PN sangat baik dan positif,” katanya dan menambah beliau yakin sokongan itu akan diterjemahkan ketika hari mengundi esok.