Monday, December 6, 2021

Mohon maaf atau disaman, kata aktivis berhubung fitnah portal pro BN

Laporan polis turut dibuat terhadap portal yang menulis artikel tersebut dan tindakan saman akan diambil jika gagal meminta maaf kepadanya.

Other News

Aktivis media sosial, Syarul Ema Rena Abu Samah, atau lebih dikenali sebagai “Ratu Naga” membuat laporan polis terhadap sebuah portal pro-Barisan Nasional (BN) selepas didakwa memfitnahnya menerima bayaran daripada Perikatan Nasional (PN).

Bercakap dengan MalaysiaNow, Ema berkata, portal itu menuduh kononnya PN membiayainya sebagai ketua jentera pasukan siber dengan bayaran RM1 juta sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.

Menurutnya, portal itu juga mereka cerita bahawa dia dipecat kerana dikatakan gagal untuk memberikan impak dalam perang siber semasa tempoh berkempen.

Menjelaskan perkara itu, Ema menafikannya dan menyifatkan perbuatan itu sebagai usaha memburukkan imej PN dan dirinya.

“Saya akui saya ada mempromosi PN menerusi akaun media sosial saya, tetapi saya berbuat begitu kerana saya sokong PN dan saya juga merupakan pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia,” katanya ketika dihubungi MalaysiaNow.

“Saya bukan ahli Bersatu atau mempunyai sebarang kaitan dengan PN. Saya cuma nak tolong sebab PN adalah pilihan saya,” tegasnya.

Mengulas lanjut, Ema memberitahu dia juga bercadang untuk menyaman portal tersebut sekiranya mereka gagal meminta maaf dalam tempoh seminggu susulan laporan tersebut.

“Saya sangat marah apabila mereka turut melontarkan fitnah terhadap keluarga. Tak salah jika nak kritik saya tetapi jangan sampai ‘serang’ ahli keluarga,” katanya.

“Saya berpendapat portal itu menulis artikel tersebut kerana melihat saya sebagai ancaman kerana mempunyai lebih 123,000 ‘followers’ dan saya aktif menguar-uarkan mesej dan inisiatif yang bakal dilaksanakan oleh PN.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles