Wednesday, December 1, 2021

Mahkamah Persekutuan isytihar kanak-kanak tanpa kerakyatan sebagai warganegara, teguran kepada KDN

Mahkamah berkata kanak-kanak yang kini berusia 17 tahun tersebut berhak mendapat kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang.

Other News

Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan seorang kanak-kanak yang dilahirkan di Kuala Lumpur dan diambil sebagai anak angkat oleh pasangan warga Malaysia di Pulau Pinang tidak lagi dianggap sebagai individu tanpa kewarganegaraan dan diisytihar sebagai warganegara mengikut kuat kuasa undang-undang dalam penghakiman penting yang akan menjadi duluan bagaimana kerajaan harus menangani perkara serupa pada masa hadapan.

Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berkata dalam keputusan sebulat suara kanak-kanak yang kini berusia 17 tahun, dikenali sebagai CYM bagi melindungi identitinya, adalah warganegara Malaysia berdasarkan kelahirannya dalam persekutuan Malaysia, menurut Perkara 14(1)(b), Seksyen (1) Perenggan (a) Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan, yang turut dibaca bersama Seksyen 19B Bahagian III Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan.

“Memandangkan kanak-kanak itu diabaikan ketika ditemui di lokasi yang disebutkan di atas, dia dianggap dilahirkan oleh seorang ibu yang menetap di sana,” kata Tengku Maimun dalam penghakiman tersebut.

“Susulan itu, dia dianggap memenuhi syarat-syarat Seksyen 1(a) Bahagian II yang dibaca bersama Seksyen 19B Bahagian III, kerana dia, yang dilahirkan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, dilahirkan dalam persekutuan dan ibunya dianggap sebagai penduduk tetap dalam persekutuan.

“Berdasarkan premis-premis ini, ia menjadi pertimbangan kami bahawa kanak-kanak itu berhak mendapat kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang menurut Seksyen 1(a) Bahagian II dibaca bersama Seksyen 19B Bahagian III.”

CYM diabaikan semasa kelahirannya dan diambil sebagai anak angkat oleh pasangan tersebut.

Mengikut fakta kes, pasangan tersebut dianggap mengambilnya sebagai anak angkat secara rasmi.

Sijil kelahirannya dikeluarkan pada 20 Februari 2004 namun pada April 2016, ketika CYM mencecah usia 12 tahun, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) enggan mengeluarkan MyKad kepadanya.

Pegawai yang memeriksa sijil kelahirannya dikatakan mendapati perbezaan nama keluarga CYM dan saudara perempuannya iaitu TYS yang juga merupakan anak angkat pasangan itu sebelum CYM diambil di bawah jagaan mereka.

Pasangan itu kemudiannya menyerahkan sijil kelahirannya dan diberikan sijil baru dengan butiran yang dipinda pada 3 November 2016.

Bagaimanapun, sijil kelahiran kedua merekodkan maklumat ibu bapa sebagai “tiada” dan status kewarganegaraannya “belum ditentukan”.

Pasangan itu kemudiannya memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dan mereka diberikan perintah pengangkatan pada 20 Julai 2017.

Susulan itu, mereka memohon sijil kelahiran baru dan buat kali ketiga, pada 21 September 2017 sijil baru dikeluarkan menyatakan status kewarganegaraan CYM sebagai “bukan warganegara”.

Hujah awal mereka di mahkamah ditolak oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, yang mengikuti duluan sebelumnya berpegang bahawa Seksyen 1(a) mesti mengambil kira perkataan “pada masa kelahiran”.

Mahkamah juga berpendapat bahawa perkataan “ibu bapa” bermaksud ibu bapa kandung dan tidak boleh diperluaskan kepada “ibu bapa angkat”.

Pasangan itu kemudiannya merayu kepada Mahkamah Persekutuan yang antara lain memutuskan bahawa tiada sebarang perkara yang menunjukkan mereka berbohong mengenai fakta pengabaian.

Ia juga mengenepikan penghakiman sebelum ini oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, mengatakan ia tidak seharusnya dijadikan sebagai duluan pada masa hadapan.

Ia juga berkata bahawa kes itu kini akan menjadi duluan kepada kementerian dalam negeri (KDN), JPN dan ketua pendaftar kelahiran dan kematian untuk menangani semua kes serupa pada masa depan dalam konteks kanak-kanak yang baru lahir dan diabaikan.

“KDN, di mana responden (ketua pendaftar kelahiran dan kematian) adalah sebahagian daripadanya, memiliki semua jentera penting kerajaan untuk menjalankan siasatan sewajarnya bagi memastikan kebenaran keterangan.

“Responden tidak melepaskan tanggungjawab undang-undangnya untuk menyangkal anggapan kediaman tetap ibu kanak-kanak itu dalam Seksyen 19B.

“Selanjutnya, responden langsung tidak menangani atau memberi respons kepada mana-mana kenyataan positif yang dibuat oleh perayu mengenai bagaimana kanak-kanak itu diabaikan ketika ditemui, sekali gus menjadikan keterangan-keterangan itu diakui,” katanya.

Ia juga berkata, responden sepatutnya merujuk kepada Seksyen 1(a) Bahagian II yang dibaca bersama Seksyen 19B Bahagian III, namun sebaliknya menafikan kewarganegaraan kanak-kanak itu hanya kerana tidak dapat mengumpul sebarang bukti mengenai ibu bapa kandungnya,

“Mereka tidak mempunyai hak atau budi bicara untuk melakukan apa-apa selain itu, apatah lagi sehingga menyebabkan kanak-kanak tersebut tidak memiliki kewarganegaraan,” tambahnya.

“Maka dengan itu, dan dengan hormatnya, kami memutuskan untuk mengatakan bahawa kewarganegaraan melalui pelaksanaan undang-undang adalah hak – sebuah hak asasi dan hak di bawah Perlembagaan. Ia sama sekali tidak memberikan ruang untuk sesuatu pelaksanaan yang didasari tanggapan-tanggapan subjektif atau andaian mengenai apakah yang bermaksud kewarganegaraan.

“Perkataan kewarganegaraan ‘oleh kuat kuasa undang-undang’ adalah sangat jelas, dan tidak ada ruang untuk budi bicara.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles