Wednesday, December 8, 2021

‘Hadiah’ rumah RM100 juta kepada Najib mesti diundi di Parlimen, kata Kit Siang

Veteran DAP Lim Kit Siang mempersoalkan pemberian hadiah rumah kepada Najib kerana menurutnya bekas perdana menteri itu bertanggungjawab menjadikan Malaysia negara kleptokrasi.

Other News

Veteran DAP Lim Kit Siang berkata pemberian rumah bernilai RM100 juta kepada Najib Razak mesti diundi di Parlimen memandangkan bekas perdana menteri tersebut telah disabit bersalah sebagai seorang penjenayah walaupun sedang dalam proses rayuan terhadap sabitannya.

Dalam sebuah kenyataan Lim berkata, Najib bertanggungjawab menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara kleptokrasi susulan skandal 1MDB dan skandal-skandal lain yang membabitkan ahli Parlimen Pekan tersebut.

“Bilakah peruntukan untuk rumah Najib yang bernilai RM100 juta ini akan dibentangkan ke Parlimen untuk diundi?

“Adakah rakyat Malaysia mahu menghadiahkan perdana menteri yang telah menyebabkan negara kita kehilangan berpuluh malah beratus billion ringgit akibat 1MDB dan skandal-skandal lain dengan rumah yang bernilai RM100 juta?

“Perkara ini amat menjijikkan bagi mana-mana rakyat Malaysia yang baik,” katanya.

Semalam, sidang Dewan Rakyat sempat kecoh apabila isu rumah bernilai RM100 juta yang dimohon Najib dan didedahkan MalaysiaNow diluluskan oleh Kabinet dibangkitkan Ahli Parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad.

Mahathir mempertikaikan langkah pemberian rumah kepada Najib yang disifatkan sebagai seorang “penyangak” dan merupakan seorang “banduan” kerana sudah disabit kesalahan salah guna kuasa, dan penyelewengan dana berkaitan 1MDB dan SRC International.

“Tapi ini buat kerja sekian lama, curi duit, seleweng duit, salah guna duit, salah guna kuasa, dapat hadiah RM100 juta.”

“Setakat kita tahu dia adalah satu banduan yang didapati bersalah, dihukum 12 tahun penjara dan denda lebih RM200 juta.. Yang dia tak masuk penjara dan tak bayar denda,” kata Mahathir.


Pendedahan: Najib bakal dapat rumah percuma bernilai RM100 juta di kejiranan mewah KL

Dr M pertikai rumah bernilai RM100 juta untuk ‘penyangak’

Syed Saddiq kecam Kabinet lulus peruntukan rumah Najib bernilai RM100 juta


Dalam pada itu, Lim berkata, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz juga dilihat cuba mengelak daripada memberikan penjelasan berhubung isu tersebut.

“Melihat kepada kemarahan rakyat mengenai isu ini, rumah bernilai RM100 juta kepada Najib ini mestilah diundi di Parlimen.”

Sebelum ini, MalaysiaNow melaporkan Najib memohon “keistimewaan” daripada kerajaan dalam bentuk sebuah rumah kediaman dengan keluasan 2.8 ekar bernilai RM100 juta yang terletak di kejiranan paling eksklusif Kuala Lumpur.

“Keistimewaan” kepada Najib turut termasuk penganugerahan pemilikan sebuah tanah premium dengan keluasan lebih 120,000 meter persegi di Bukit Petaling, kawasan kejiranan eksklusif di tengah-tengah Kuala Lumpur, selain pembinaan banglo di kawasan itu melibatkan kos RM100 juta.

Difahamkan Najib membuat permohonan rasmi kepada kerajaan awal tahun ini susulan lawatan ke tanah kosong tersebut.

Bagaimanapun, menurut sumber MalaysiaNow beberapa menteri mewakili beberapa parti kerajaan membantah langkah tersebut termasuk Zafrul.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles