- Iklan -
Berita

PN umum Mas Ermieyati sebagai calon ketua menteri

Sekiranya berjaya, beliau akan menjadi ketua menteri wanita pertama di Malaysia.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Mas Ermieyati Samsudin, calon Perikatan Nasional bagi kerusi Tanjung Bidara.
Mas Ermieyati Samsudin, calon Perikatan Nasional bagi kerusi Tanjung Bidara.

Perikatan Nasional (PN) hari ini mengumumkan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon ketua menteri sekiranya berjaya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pencalonan Mas Ermieyati diumumkan Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin menerusi sidang media di ibu pejabat Perikatan Nasional di Kuala Lumpur hari ini.

“Jadi keputusan yang telah dicapai untuk namakan Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon ketua menteri daripada Perikatan Nasional,” katanya.

Sekiranya PN memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-15 pada 20 November ini, pencalonan itu bakal melakar sejarah apabila ia menjadi gabungan pertama yang melantik ketua menteri wanita pertama di Malaysia.

Mas Ermieyati yang berdepan dengan pertembungan tiga penjuru melawan Ab Rauf Yusoh dari Barisan Nasional (BN) dan Zainal Hassan dari Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi DUN Tanjung Bidara merupakan ahli Parlimen Masjid Tanah selama dua penggal.

Beliau pada ketika ini memegang jawatan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri.

PN bertanding di semua 28 kerusi DUN Melaka pada PRN kali ini.