Monday, December 6, 2021

Najib tandatangan surat sokongan kerajaan tanggung hutang AS$3 bilion 1MDB, kata Ismee

Surat itu menyatakan kerajaan Malaysia mengambil maklum anak syarikat 1MDB akan menerbitkan bon sebanyak AS$3 bilion yang akan dibayar sepenuhnya pada 2023.

Other News

Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa kerajaan Malaysia akan mengambil tanggungjawab untuk membayar hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sejumlah AS$3 bilion, jika syarikat itu gagal berbuat demikian.

Bekas pengarah bukan eksekutif 1MDB Ismee Ismail, 57, berkata demikian ketika merujuk kepada surat sokongan kerajaan kepada 1MDB bertarikh 14 Mac 2013 yang ditandatangani Najib Razak selaku menteri kewangan ketika itu.

Beliau berkata surat itu menyatakan kerajaan Malaysia telah mengambil maklum bahawa anak syarikat 1MDB, iaitu 1MDB Global Investment Ltd (1MDB GIL) akan menerbitkan bon sebanyak AS$3 bilion yang akan dibayar sepenuhnya pada 2023.

“Dokumen (surat) ini menjelaskan, sekiranya peminjam 1MDB GIL tidak dapat membayar atau terdapat kekurangan dalam membayar hutang ini, syarikat 1MDB akan memberikan bantuan kewangan untuk memenuhi tanggungjawab membayar hutang itu.

“Selain itu, sekiranya 1MDB gagal untuk membayar hutang berkenaan, maka kerajaan Malaysia akan mengambil tanggungjawab itu untuk membiayai 1MDB untuk membayar hutang ataupun secara langsung membayar hutang itu sehingga selesai.

“Dalam erti kata lain, surat sokongan ini adalah seperti sokongan kuat dari kerajaan Malaysia untuk membayar AS$3 bilion bon berserta ‘interest’ yang diwujudkan oleh 1MDB melalui 1MDB GIL,” katanya sambil menambah surat sokongan itu dikeluarkan oleh kerajaan dengan kadar yang sangat cepat.

Saksi pendakwaan ke-13 itu berkata demikian pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi bekas perdana menteri itu.

Ismee yang membacakan pernyataan saksi setebal 111 muka berkata, kelulusan untuk membuat ‘fundraising’ sebanyak AS$3 bilion telah dicapai pada Resolusi Ahli Lembaga Pengarah (DCR) bertarikh 12 Mac 2013 manakala surat sokongan dikeluarkan pada 14 Mac 2013.

Saksi itu berkata, hampir kesemua keputusan yang dicapai oleh 1MDB bagi menjayakan ‘fundraising’ AS$3 bilion itu adalah melalui DCR dan Special Right Redeemable Preference Shareholders Resolution (SRR).

“Sepatutnya, sesuatu keputusan yang ingin dicapai boleh dibuat sama ada melalui mesyuarat ahli lembaga pengarah (BOD) atau melalui DCR dan SRR. Bagaimanapun sekiranya sesuatu keputusan diperlukan dengan kadar segera maka lazimnya ia akan dibuat melalui DCR dan SRR.

“Saya mengesahkan bahawa, kuasa Najib sebagai perdana menteri, menteri kewangan dan pengerusi penasihat lembaga 1MDB adalah melangkaui BOD 1MBD berdasarkan peruntukan di bawah Artikel 117 Memorandum dan Artikel (M&A) berkaitan urusan kewangan dan pelaburan syarikat yang melibatkan kepentingan negara hendaklah dibuat keputusan oleh PM (Najib),” kata Ismee.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles