- Iklan -
Berita

DAP belanja besar untuk iklan FB ketika kempen PRN makin hangat di Melaka

Facebook merekodkan kutipan bayaran iklan sebanyak RM150,000 di Melaka dan lebih RM60,000 dibelanjakan DAP.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Sebuah motosikal melalui deretan bendera Pakatan Harapan yang digantung di perkampungan Portugis, Melaka.
Sebuah motosikal melalui deretan bendera Pakatan Harapan yang digantung di perkampungan Portugis, Melaka.

DAP merupakan parti politik yang membelanjakan jumlah wang iklan Facebook (FB) terbanyak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dalam tempoh tujuh hari lalu, menurut kumpulan yang meninjau dan mengumpul data mengenai kempen pilihan raya ketika ini.

Menurut Kuasa, berdasarkan data dari FB Ads antara 9 hingga 15 November, FB merekodkan kutipan bayaran iklan sebanyak RM150,000 di Melaka dan lebih RM60,000 daripadanya adalah daripada DAP menerusi dua halaman FB yang dimiliki (disclaimer) Democratic Action Party dan DAP Malaysia.

Data itu menunjukkan halaman page Democratic Action Party membelanjakan RM37,851 manakala “Rocket” (dalam tulisan mandarin) pula sebanyak RM23,896.

“Mudah untuk ketahui ini adalah perbelanjaan DAP memandangkan mereka membelanjakan peruntukan itu secara berpusat sekali gus menyimpulkan perbelanjaan iklan FB mereka secara menyeluruh,” kata Ketua Eksekutif Kuasa Praba Ganesan kepada MalaysiaNow.

Ditanya mengenai perbelanjaan iklan FB bagi parti politik lain, Praba menjelaskan sukar untuk pertubuhan bukan kerajaan itu menyatakan jumlah keseluruhan mengikut parti memandangkan mereka dilihat berkempen dalam FB menggunakan akaun FB individu.

“Contohnya, parti Amanah menggunakan halaman FB Adly Zahari dengan jumlah RM23,312, manakala PN Melaka didaftar di bawah nama individu Nur Hayati Hassan dengan perbelanjaan RM5,562.

“Namun begitu, jumlah yang dicampur daripada baki perbelanjaan iklan FB Melaka masih lagi rendah daripada apa yang dibelanjakan DAP,” katanya dan menambah jumlah perbelanjaan iklan FB dijangka meningkat bagi tempoh baki lima hari untuk berkempan sempena PRN Melaka.

Tambah Praba, jumlah bayaran iklan yang meningkat secara mendadak bagi iklan FB di Melaka turut mengesahkan bahawa perbelanjaan iklan itu adalah sempena PRN Melaka.

“Ruangan iklan FB Melaka merekodkan jumlah kutipan bayaran iklan RM150,000 dan ini merupakan peningkatan mendadak berbanding negeri lain.

“Di tangga kedua ialah Selangor yang hanya merekodkan kutipan  sekitar RM12,000,” ujarnya,

PRN Melaka ke-15 menyaksikan seramai 112 calon bertanding susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka apabila ketua menteri dari Umno, Sulaiman Md Ali hilang sokongan majoriti.

Dalam mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) PRN Melaka, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melarang aktiviti berkempen secara bersemuka dan menggalakkan parti politik berkempen secara maya bagi mengekang penularan Covid-19.

Sementara itu, ditanya mengenai jangkaan PRN Melaka, Praba berkata, Barisan Nasional (BN) mungkin berdepan kesukaran untuk mencapai kemenangan meskipun mempunyai asas penyokong yang kuat di negeri itu.

“Contohnya di DUN Tanjung Bidara yang terletak di bawah Parlimen Masjid Tanah. Kawasan itu boleh disifatkan sebagai kubu Umno, bagaimanapun Mas Ermieyati Shamsuddin pastinya akan memberi laluan sukar kepada mereka.

“Mas Ermieyati merupakan seorang ahli parlimen dan ketua cabang Bersatu, malah dia adalah bekas ketua Puteri Umno. Pastinya dia mempunyai pengaruh yang kuat di kawasan itu dan tidak mustahil untuk dia tewaskan calon Umno, Ab Rauf Yusoh,” katanya.

Selain itu, katanya, ketidakstabilan yang dilihat dalam Umno yang dipimpin oleh presiden, Ahmad Zahid Hamidi serta mereka yang tidak berpuas hati dengan pencapaian PH juga akan memberi kelebihan kepada PN untuk meraih undi di Melaka.

“Kedua-dua kerajaan PH dan Umno tumbang dalam tempoh tiga tahun lalu dan ada kemungkinan pengundi akan beri peluang kepada Bersatu untuk terajui Melaka,” katanya.