- Iklan -
Berita

Sarawak peruntuk lebih RM8 bilion, pastikan liputan bekalan air capai 100%

Kementerian utiliti telah memperuntukkan RM8.28 bilion untuk melaksanakan 606 projek pembangunan bekalan air sepanjang tempoh 2017 hingga 2021.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pelaksanaan pembangunan projek-projek itu menggunakan dua strategi iaitu Sistem Grid Bekalan Air dan Program Bekalan Air Alternatif Sarawak (Sawas).
Pelaksanaan pembangunan projek-projek itu menggunakan dua strategi iaitu Sistem Grid Bekalan Air dan Program Bekalan Air Alternatif Sarawak (Sawas).

Dalam memastikan bekalan air di Sarawak mencapai tahap liputan 100% menjelang 2025, kerajaan Sarawak menerusi kementerian utiliti (MOU) telah membuat perancangan terperinci selain menyediakan peruntukan besar untuk menjayakan pelaksanaannya.

Menteri Utiliti Sarawak Stephen Rundi Utom berkata kementerian itu telah memperuntukkan RM8.28 bilion untuk melaksanakan 606 projek pembangunan bekalan air di seluruh negeri ini untuk tempoh 2017 hingga 2021.

Katanya pelaksanaan pembangunan projek-projek itu menggunakan dua strategi iaitu Sistem Grid Bekalan Air dan Program Bekalan Air Alternatif Sarawak (Sawas).

“Ketika ini, 231 projek telah siap, 227 lagi masih dalam pelaksanaan dan 148 projek lagi dalam fasa perancangan. Projek bekalan air dirancang dengan teliti serta memakan belanja yang sangat besar selain bagi memastikan visi MOU untuk mencapai 100% liputan bekalan air dapat dilaksanakan menjelang 2025,” katanya kepada Bernama.

Katanya liputan semasa bekalan air terawat di seluruh Sarawak adalah sebanyak 83.4% yang meliputi 99% kawasan bandar manakala 66.5% kawasan luar bandar.

Dr Rundi berkata ketika ini pelan utama Sistem Grid Bekalan Air telah dibuat mengikut zon dengan Zon Selatan di bawah seliaan Lembaga Air Kuching (KWB), Zon Tengah di bawah Lembaga Air Sibu dan Zon Utara di bawah Lembaga Air Kawasan Utara (LAKU).

“Kita merancang untuk menggabungkan semua agensi itu menjadi satu entiti…bererti semua agensi bekalan air di Sarawak akan diselaraskan di bawah satu kuasa iaitu Pihak Berkuasa Air Sarawak (Sarawak Water Authority), sekali gus akan memberikan impak perancangan yang lebih menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata perkara yang paling penting dalam perancangan grid ini melibatkan empat komponen utama, bermula daripada sumber air, loji rawatan, cara penghantaran dan prospek pengguna itu sendiri.

“Di Zon Selatan, contohnya, kita mempunyai sumber air dari Empangan Bengoh yang boleh mengeluarkan sebanyak dua juta liter sehari yang dirawat di Loji Batu Kitang dan seterusnya disalurkan menggunakan tangki air aras tinggi dan pam air sehingga ke Sebuyau (kira-kira 110 kilometer dari Kuching),” katanya.

Sementara itu, Sawas merupakan inisiatif kerajaan Sarawak, melalui Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) untuk menyediakan bekalan air kepada penempatan terpencil dan kawasan pedalaman yang masih belum mempunyai air terawat yang selamat dan bersih.

Sawas menggunakan teknologi osmosis berbalik yang digunakan untuk merawat air dari sungai berhampiran bagi membekalkan air terawat yang bersih kepada penduduk sekitar.

Rundi berkata memandangkan pembangunan bekalan air menerusi sistem grid mengambil masa bertahun-tahun untuk disiapkan, program Sawas dilaksanakan untuk menyediakan kemudahan asas dari segi air terawat yang sesuai untuk operasi dan penyelenggaraan oleh masyarakat di kawasan terpencil.

Sehingga kini kerajaan negeri telah membekalkan sejumlah 56,044 unit tangki air yang bernilai lebih RM76 juta.

“Bagi kawasan Sebauh di Bintulu sahaja, sebanyak 10 rumah panjang (Rh) melibatkan 339 pintu (unit kediaman) telah mendapat bekalan air melalui Sawas. Antaranya Rh. Banta, Rh. Unchau, Rh. Alip Long Unan, Rh. Irai Anak Gaseng, Rh. Enteri Anak Andeng dan Rh. Ampie Anak Egang dengan nilai kos kira-kira RM42 juta,” katanya.