Wednesday, December 8, 2021

PRN Melaka medan PN uji kekuatan 

Walaupun disifatkan sebagai 'underdog', PN dijangka akan memberi persaingan kuat terhadap BN dan PH.

Other News

Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan menjadi medan uji kaji Perikatan Nasional (PN) untuk melihat sejauh mana gabungan parti baru itu akan memberi impak dan cabaran terhadap Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), kata Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar.

Beliau berkata pencapaian PN di PRN Melaka ke-15 itu juga boleh dijadikan sebagai penilaian asas kekuatan gabungan itu memandangkan tiada data terdahulu yang boleh dijadikan sebagai rujukan terhadap prestasi mereka.

Walaupun PN dilihat sebagai “underdog”, Hisommudin berkata, gabungan parti itu dipercayai akan memberi persaingan kuat berdasarkan aspek penampilan calon serta pengumuman manifesto yang dilihat mengetengahkan kriteria yang lebih menjurus kepada integriti.

“Selain menampilkan ramai calon ‘muka baru’ yang dikatakan profesional, mereka juga ketengahkan jumlah calon wanita paling ramai iaitu seramai enam orang. Selain itu manifesto yang diumumkan juga menumpukan kepada integriti,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Namun begitu, sama ada PN mampu meraih peralihan undi akan menjadi persoalan utama dan ditentukan pada 20 November ini.”

Tambah Hisommudin, PN perlu meraih sekurang-kurangnya 40% undi dalam pertembungan tiga penjuru untuk tampil sebagai pememang.

“Kekuatan asas PN ialah undian dari PAS, jadi kita akan lihat sejauh mana Bersatu dan Gerakan boleh menyumbang dalam memberi angka sokongan yang signifikan kepada PN,” tambahnya.

Mengulas mengenai pemerhatian terhadap PRN Melaka secara menyeluruh, Hisommudin berkata, sukar untuk badan penyelidik itu meramalkan parti atau calon yang mempunyai kelebihan memandangkan aktiviti berkempen secara bersemuka tidak dibenarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) PRN Melaka pada minggu lalu.

Bagaimanapun, beliau berkata, peratusan mengundi dijangka rendah untuk PRN ini dengan kemungkinan pengundi dari luar kawasan tidak akan balik mengundi.

“Selain itu, pengundi Cina juga tidak menunjukkan keterujaan seperti pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) jadi, kelebihan lebih menjurus kepada BN.

“Ia kerana Melaka mempunyai asas sokongan BN yang kuat, jadi mereka yang melakukan ‘swing vote’ terutamanya dalam kalangan pengundi muda dari luar kawasan dijangka tidak balik, situasi ini akan memanfaatkan BN,” ulasnya.

Bagi calon bebas pula, Hisommudin berkata, sukar bagi calon kategori ini mengatasi PN, BN dan PH berdasarkan trend pengundian di Semenanjung Malaysia.

“Saya tidak menafikan ketrampilan dan peluang bagi calon bebas, tetapi berdasarkan corak pengundian dan rekod di Semenanjung, peluang terhadap calon bebas agak minima,” tambah beliau.

Ditanya mengenai keberkesanan berkempen secara dalam talian, beliau berkata, pencapaian meraih jumlah sokongan tinggi dalam media sosial tidak mencerminkan keadaan sebenar kerana kehadiran “penyokong” secara maya itu tidak dapat dibuktikan sama ada mereka sememangnya pengundi di Melaka atau sekadar penyokong dari negeri lain.

“Apabila buat sidang media secara live (siaran langsung) sama ada di Facebook, kita tidak pastikan sama orang ramai yang sertai untuk menonton itu adalah pengundi atau orang luar.

“Jadi angka yang dipaparkan dalam sesi live itu tidak boleh dijadikan sebagai pengukur sama ada pengundi tolak atau terima calon yang dipertandingkan,” tambahnya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles