- Iklan -
Berita

KM Sarawak mungkin bertanding di Gedong

Abang Johari Openg berkata beliau akan mempertimbangkan perkara itu dan akan memaklumkan sebarang keputusannya di DUN Satok lebih awal.

Nur Shazreena Ali
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg. Gambar: Bernama
Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg. Gambar: Bernama

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg hari ini berkata beliau mungkin bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Gedong pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Bercakap pada majlis pecah tanah di Gedong hari ini, beliau berkata dirinya masih mempertimbangkan langkah tersebut.

“Mohd Naroden Majais sebelum ini mengumumkan hasratnya untuk tidak terus mewakili Gedong,” katanya merujuk kepada Adun kawasan itu yang sebelum ini menawarkan kerusi tersebut kepadanya.

“Masih awal, kerana saya tidak tahu sama ada saya akan bertanding di kerusi Gedong,” katanya lagi.

Beliau berkata perkara tersebut akan dipertimbang dengan lebih lanjut dan beliau akan memaklumkan sebarang keputusan di DUN Satok yang diwakilinya ketika ini.

Sebagai ketua menteri Sarawak, katanya, beliau mesti menjaga semua DUN di negeri itu.

Abang Johari mempertahankan kerusi Satok buat kali kelapan pada PRN 2016, menewaskan pencabarnya Mohamed Salleh Shawkatali dari PKR.

Dewan Undangan Negeri Sarawak dibubarkan pada 3 November lalu, memberi laluan PRN diadakan di negeri itu.

Tarikh pengundian dijangka akan diumumkan selepas mesyuarat khas dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Kuching pada 24 November depan.