Wednesday, December 8, 2021

Warga emas Melaka bimbang keluar mengundi kerana Covid-19

SPR jamin SOP diguna pakai selamat selepas dapat kelulusan KKM dan MKN.

Other News

Pengundi warga emas meluahkan rasa bimbang untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Sabtu ini berikutan penularan Covid-19.

Meskipun yakin dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang diluluskan kementerian kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), beberapa pengundi warga emas tetap khuatir dengan risiko terutama jika terdedah dengan jangkitan Covid-19.

Pengundi dari Taman Bukit Melaka, Chiew Kam Ying, 68, berkata bukan semua yang dijangkiti Covid-19 mempunyai simptom, justeru menyukarkan pihak berkuasa untuk betul-betul kesan pengundi yang positif.

Ini merupakan ketakutan utama pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh itu.

Seorang pengundi PRN Melaka Chiew Kam Ying, 68, ketika ditemu bual MalaysiaNow.

“Saya memang takut, tapi terpaksalah pergi mengundi sebab ia tanggungjawab saya,” katanya kepada MalaysiaNow dan menambah bahawa dia sudah lengkap divaksin dan akan mengambil suntikan dos penggalak.

“Pastinya tempat mengundi akan dipenuhi orang ramai dan mungkin sukar untuk pihak berkuasa memantau setiap individu yang hadir.”

Pengundi dari DUN Asahan, Kamis Saad, 70, memberitahu, perkara yang membuatkan dia paling bimbang adalah apabila pengundi perlu berkongsi bekas celup dakwat kerana dikhuatiri akan menjadi punca penyebaran virus tersebut.

Luahnya, pelaksanaan itu menyebabkan dia berbelah bahagi untuk turun mengundi dan berharap SPR akan pertimbang cara lain demi keselamatan pengundi.

“Jika perlu kongsi bekas dakwaat, mungkin saya tak turun mengundi. Maklumlah saya dikategori sebagai warga emas dan virus ini sangat berbahaya kepada golongan seperti saya,” katanya ketika ditemui MalaysiaNow.

“Malah disebabkan Covid-19, saya tidak rasa anak-anak yang yang menetap luar Melaka akan kembali semata-mata untuk mengundi. Mereka pun tahu tidak selamat untuk mengembara pada waktu ini dan saya tidak terkejut jika ramai pengundi luar memikirkan perkara sama.”

Kamis Saad, 70, bercakap kepada media ketika ditemu bual MalaysiaNow mengenai PRN Melaka.

Chiew berkata SPR mungkin boleh pertimbang kaedah lain seperti menitiskan dakwat ke atas jari pengundi sebagai tanda sudah selesai mengundi.

Katanya, kaedah itu sekurang-kurangnya akan memastikan pengundi tidak berkongsi bekas dakwat sekali gus memastikan keselamatan pengundi lain.

Bagaimanapun, cadangan ini tidak dipersetujui pengundi warga emas yang hanya mahu dikenali sebagai Chong, 67, kerana perkara itu boleh diatasi dengan hanya mensanitasi tangan sebelum dan selepas mengundi.

“Perkara ini bukan satu isu besar. Pengundi boleh sanitasi tangan sebelum celup jari ke bekas dakwat itu dan sanitasi sekali lagi apabila selesai proses mengundi.

“Jika tidak celup jari dengan dakwat, ini membuka peluang untuk melakukan penipuan,” katanya.

Sementara itu SPR ketika dihubungi MalaysiaNow memberitahu bahawa SOP yang digunakan pada PRN Melaka ke-15 dijamin selamat, malah sudah diguna pakai pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim serta PRN Sabah sebelum ini.

Berdasarkan SOP yang dijelaskan di bawah aktiviti dan protokol penandaan dakwat pilihan raya, jari telunjuk kiri pengundi perlu dicelup dalam dakwat kekal dan kemudian melakukan sanitasi tangan sebelum menerima kertas undi.

“Proses sanitasi tangan ketika hari mengundi adalah sebanyak empat kali iaitu ketika masuk pusat mengundi, sebelum masuk saluran mengundi, selepas celup dakwat dan sebelum keluar pusat mengundi.

“SOP ini termasuk bagi hari pengundian awal. Malah, warga emas akan mempunyai saluran khas, kebiasaannya saluran satu,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles