- Iklan -
Berita

Kumpulan serpihan bakal cetus pertembungan sengit dalam PRN Sarawak?

Sama ada calon daripada parti semenanjung akan dapat bertanding di DUN Sarawak adalah terpulang kepada sentimen tempatan.

Nur Shazreena Ali
3 minit bacaan
Kongsi
Sebanyak 82 kerusi DUN Sarawak bakal direbut dalam PRN Sarawak yang bakal diadakan selepas PRN Melaka. Gambar: Bernama
Sebanyak 82 kerusi DUN Sarawak bakal direbut dalam PRN Sarawak yang bakal diadakan selepas PRN Melaka. Gambar: Bernama

Ketika penduduk Melaka bersiap sedia mengundi calon pilihan mereka di pusat pengundian akhir bulan ini, di Sarawak pula, persiapan pilihan raya sedang dijalankan dan pertandingan sengit dijangka bakal tercetus di kesemua 82 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) terbesar negara itu.

DUN Sarawak dibubarkan pada 3 November lalu selepas Yang di-Pertuan Agong membatalkan perintah darurat lanjutan, memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak diadakan.

Pengundian mesti diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh tersebut, dan parti-parti setempat sudah mula menjalankan kerja-kerja di lapangan menjelang pilihan raya yang dijangka bakal diadakan selepas PRN Melaka selesai 20 November depan.

Sebelum DUN dibubarkan, Gabungan Parti Sarawak (GPS) menguasai 68 kerusi DUN – 47 kerusi dimenangi PBB, 11 PRS, tujuh SUPP dan tiga PDP.

Di blok pembangkang, SUPP yang merupakan serpihan PSB menguasai enam kerusi manakala DAP Sarawak menguasai lima dan satu kerusi dikuasai Bersatu.

Satu kerusi turut disandang seorang Adun Bebas dan satu kerusi tiada penyandang.

Ia tidak menggambarkan keputusan PRN sebelum ini yang diadakan pada 2016 di mana Barisan Nasional (BN) memenangi 72 dari 82 kerusi DUN.

Ketika itu, empat parti kerajaan – PBB, SUPP, PRS dan PDP – memenangi 67 kerusi manakala UPP, sebuah lagi parti serpihan SUPP yang mesra GPS dan calon yang bertanding di bawah BN, mengekalkan lima kerusinya.

Baki 10 kerusi disandang Pakatan Harapan (PH) Sarawak – tujuh oleh DAP dan tiga diwakili PKR.

Namun, tsunami politik yang melanda seluruh negara semasa PRU 2018 juga menyaksikan beberapa ahli Parlimen keluar parti.

Kekalahan mengejut kerajaan persekutuan BN juga menyaksikan kejatuhan empat parti gabungan itu sekali gus membentuk GPS pada Julai 2018.

Setahun kemudian, sekutu GPS Wong Soon Koh yang merupakan presiden UPP meletak jawatan dari Kabinet.

PSB pada ketika itu masih setia dengan GPS walaupun hubungannya menjadi semakin renggang.

Akhirnya, ia meninggalkan GPS dengan membawa lima kerusi yang dimenanginya dan menjadikan gabungan itu hanya memiliki 67 kerusi.

Timbalan Presiden PSB Jerip Susil yang merupakan Adun Mambong juga meletak jawatan daripada parti tersebut dan menyertai PBB, menjadikan bilangan kerusi GPS kepada 68 kerusi dan meninggalkan PSB empat kerusi.

Kejatuhan kerajaan persekutuan PH tahun lalu menyaksikan tiga wakil rakyat PKR Sarawak – Baru Bian, Ali Biju dan See Chee How – meninggalkan parti itu.

Baru dan See menyertai PSB manakala Ali menyertai Bersatu yang berpangkalan di semenanjung, yang baru-baru ini melebarkan sayapnya ke Sarawak.

Akibat keluarnya mereka dari PKR Sarawak, parti itu kehilangan semua wakil rakyatnya dalam DUN manakala PSB masih memiliki dua kerusi, menjadikan jumlah keseluruhan kerusi dimiliki parti sebanyak enam.

Dalam pada itu, DAP pula hanyak memiliki baki lima kerusi selepas tewas di Pujut dan Padungan.

Kerusi Pujut kekal kosong sejak Dr Ting Tiong Choon, yang memenanginya pada PRN 2016, hilang kelayakan kerana memiliki dua kerakyatan.

Ia kehilangan kerusi Padungan apabila wakil rakyatnya Wong Kin Wei keluar parti untuk menjadi Bebas.

Pertembungan pelbagai penjuru

Dengan PRN yang semakin hampir, pembangkang di Sarawak terus dilihat berpecah dan tidak berjaya menunjukkan kesatuan bagi menentang GPS.

Sejarah perpecahan parti-parti pembangkang Sarawak boleh dijejaki sejak 1970-an apabila Parti Kebangsaan Sarawak atau SNAP berpecah sehingga mencetuskan kebangkitan parti-parti serpihan termasuk Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) dan seterusnya Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Perebutan kuasa dalaman PRS juga mencetuskan penubuhan parti baru, Parti Pekerja Sarawak (SWP).

Dengan begitu banyak parti yang mahu mewakili masyarakat Dayak, politik komuniti itu juga menjadi tidak menentu.

PRN 2016 menyaksikan pertembungan tiga penjuru di 28 kawasan, pertembungan empat penjuru di 12 kawasan dan pertembungan lima penjuru di lima kawasan.

Pertembungan lima penjuru kebanyakannya berlaku di kerusi yang memiliki majoriti populasi kaum Cina di Batu Kitang, Bukit Semuja, Dudong, Bawang Assan dan Jepak.

Pertembungan empat penjuru pula berlaku di kerusi majoriti Dayak iaitu Opar, Serembu, Sadong Jaya, Balai Ringin, Simanggang, Engkilili, Meluan, Ngemah, Murum, Bekenu, Pujut dan Mulu.

Dengan kemunculan parti serpihan tempatan yang baru seperti Parti Bumi Kenyalang dan Gasak – sebuah gabungan kumpulan politik tempatan Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi), SWP, pemimpin dari PBDSB yang dibatalkan pendaftarannya, Sarawak for Sarawakian (S4S) dan Sarawak Independence Alliance (SIA) – persaingan dijangka sengit dalam pengundian akan datang.

Dan persoalan sama ada calon daripada parti yang berpangkalan di semenanjung seperti PAS dan Amanah akan dapat memperoleh kerusi di PRN Sarawak bakal bergantung kepada sentimen tempatan.