- Iklan -
Berita

Guan Eng gagal pindah kes rasuah ke Mahkamah Tinggi

Tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai hakim Nor Bee Ariffin hari ini sebulat suara menolak rayuan bekas ketua menteri Pulau Pinang itu

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan peguamnya Gobind Singh Deo. Gambar: Bernama
Bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan peguamnya Gobind Singh Deo. Gambar: Bernama

Prosiding perbicaran kes rasuah Lim Guan Eng membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang kekal di Mahkamah Sesyen.

Ini berikutan keputusan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai hakim Nor Bee Ariffin hari ini sebulat suara menolak rayuan bekas ketua menteri Pulau Pinang itu untuk memindahkan perbicaraan kes rasuahnya dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Dua lagi hakim yang turut bersidang Che Mohd Ruzima Ghazali dan Hashim Hamzah.

Hakim Che Mohd Ruzima yang menyampaikan keputusan mahkamah, berkata pendekatan perayu (Lim) menggunakan Seksyen 417 Kanun Tatacara Jenayah khusus untuk kesnya dibicarakan di Mahkamah Tinggi sebagai landasan untuk membawa rayuan kesnya ke Mahkamah Persekutuan tidak wajar dibenarkan.

Beliau berkata tidak ada kesilapan yang dilakukan oleh hakim Mahkamah Tinggi apabila memutuskan Lim gagal memenuhi kehendak yang diperlukan di bawah Seksyen 417 (1) (b) dan Seksyen 417 (1) (e) Kanun Tatacara Jenayah.

Beliau berkata kedua-dua  persoalan undang-undang yang dibangkitkan oleh Lim bukan tergolong dalam persoalan undang-undang yang luar biasa atau tidak pernah diputuskan oleh mana-mana mahkamah sebelum ini.

Hakim Che Mohd Ruzima berkata oleh itu rayuan Lim ditolak dan keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan.

Lim mengemukakan rayuan terhadap keputusan hakim Mahkamah Tinggi Muhammad Jamil Hussin yang menolak permohonannya untuk memindahkan kesnya dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Bagi kes yang bermula di Mahkamah Sesyen, rayuan akan berakhir di Mahkamah Rayuan manakala kes yang bermula di Mahkamah Tinggi akan berakhir di Mahkamah Persekutuan.

Lim, yang merupakan ahli Parlimen Bagan, berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, 60, didakwa sebagai ketua menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta dengan mengambil tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6,341,383,702.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang antara Januari 2011 dan Ogos 2017.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan 10% daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul sebagai upah membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Lim juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Setakat ini, 11 saksi pendakwaan telah memberi keterangan dalam perbicaraan kes tersebut yang bermula pada 13 Julai lepas. Perbicaraan dijadualkan bersambung 29 November di hadapan hakim Azura Alwi.

Sepasukan peguam diketuai peguam Gobind Singh Deo mewakili Lim manakala timbalan pendakwa raya Wan Shaharuddin Wan Ladin bagi pihak pendakwaan.

Ketika ditemui pemberita selepas keputusan mahkamah, Gobind memberitahu pemberita bahawa beliau akan mendapatkan arahan daripada anak guamnya sama ada untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada hari ini ke Mahkamah Persekutuan.