- Iklan -
Berita

Rakyat Melaka patut berterima kasih dengan kami berempat, kata Norhizam

Calon DUN Pengkalan Batu itu berkata tarik sokongan terhadap ketua menteri adalah tindakan berprinsip, untuk selamatkan aset Melaka.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Calon DUN Pengkalan Batu Norhizam Hassan Baktee yang bertanding di atas tiket bebas ketika ditemu bual oleh wartawan MalaysiaNow.
Calon DUN Pengkalan Batu Norhizam Hassan Baktee yang bertanding di atas tiket bebas ketika ditemu bual oleh wartawan MalaysiaNow.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee tidak menyesal sedikit pun dengan tindakannya menarik sokongan kepada ketua menteri, Sulaiman Md Ali sehingga menyebabkan Pilihan Raya Negeri (PRN) terpaksa diadakan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan.

Sebaliknya, beliau berkata, rakyat Melaka harus mengucapkan terima kasih kepada empat Adun yang menarik sokongan.

Tiga lagi ialah Idris Haron (Sungai Udang), Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) dan Nor Azman Hassan (Pantai Kundor).

Katanya tindakan itu dilakukan atas nama prinsip “menolak kerakusan dan kejahilan” walaupun terpaksa hilang jawatan.

“Kami selamatkan rakyat negeri Melaka, kami selamatkan harta dan aset kerajaan Melaka daripada dirompak,” katanya dalam wawancara bersama MalaysiaNow.

“Sepatutnya rakyat berterima kasih dengan kami empat orang. Kita hilang segala-galanya kerana prinsip.”

Norhizam menunjukkan peta kawasan DUN Pengkalan Batu.

Kini, keempat-empat mereka mengikuti hala tuju yang berbeza selepas menarik sokongan.

Idris Haron dan Azman menyertai Pakatan Harapan (PH), Norhizam bergerak solo dan tidak kedengaran tentang Effandi selepas tidak dicalonkan gabungan diketuai Anwar Ibrahim itu.

Norhizam yang juga bekas exco kerajaan Melaka itu akan mempertahankan DUN Pengkalan Batu dalam pertembungan lima penjuru pada 20 November ini.

Beliau dicabar oleh Muhammad Danish Zainuddin yang mewakili PH, Mohd Azrudin Md Idris (Perikatan Nasional), Mohd Aluwi Sari (Putra) dan Kalsom Nordin (Barisan Nasional).

Pada 2018, beliau yang ketika itu timbalan pengerusi DAP Melaka bertanding atas tiket PH dan memenangi kerusi itu sebelum keluar parti pada tahun lalu dan mengisytiharkan sokongan kepada kerajaan BN-PN di Melaka.

Katanya, meskipun tanpa sokongan mana-mana parti, beliau yang bertanding atas tiket bebas itu tetap yakin dengan kempennya.

“Sebenarnya apabila kita tak boleh berkempen secara rasmi dan tak boleh turun padang, tak boleh pintu ke pintu, yang untungnya saya kerana saya ada KPI.

“Bila saya turun padang, kita ada gambar yang menjadi bukti rekod dan KPI mengatakan kita dah lakukan kerja.

“22,000 pengundi Pengkalan Batu telah kenali siapa itu Datuk Norhizam,” katanya yang turut terkenal dengan jolokan “YB Viral” itu.

Norhizam bersama petugas jentera kempennya berbincang.

Semakan di laman sosialnya mendapati Norhizam lebih awal berkempen.

Video penerangannya dan gambar-gambar beliau memberi bantuan kepada rakyat diulang siar.

Terbaru, beliau berkongsi poster kempennya yang agak “ranggi”dengan mengguna pakai tema drama siri Netflix, Squid Game.

Beliau bukan nama asing dalam politik.

Terkenal di seluruh negara kerana kontroversinya, Norhizam bagaimanapun berkata kebanyakan pengkritiknya adalah orang luar dan menegaskan pengundi di Pengkalan Batu lebih cakna tentang dirinya.

Norhizam pernah terpalit kontroversi apabila tular klip videonya meninggikan suara terhadap sekumpulan penduduk tiga tahun lalu selain kenyataannya berhubung masalah babi di Melaka.

Sambil menyifatkan lawannya sebagai “baru hendak menabur janji”, Norhizam yakin gerak kerjanya yang kerap menyantuni rakyat tanpa halangan protokol boleh membeli jiwa pengundi kali ini.

“Bagi saya, persepsi atau pandangan masyarakat di luar sana, biarlah mereka hendak cakap apa sahaja. Apa yang penting fokus kepada pengundi di Pengkalan Batu,” katanya.

Beberapa pengundi di luar DUN Pengkalan Batu bahkan turut memuji Norhizam.

Imej “hustler” yang boleh menyelesaikan masalah rakyat tanpa banyak karenah itu merupakan modal terbesar Norhizam.

Sudah tentu perkara yang menjadi pertanyaan pengundi di Melaka ialah sekiranya beliau berjaya mengekalkan kerusinya, blok parti manakah yang akan disokongnya.

“Jika ada keperluan saya jadi kingmaker, kita akan tengok keperluan rakyat. Saya tak nak ego tapi sokongan saya bersyarat.

“Saya tak nak kerajaan bersikap seperti dahulu, yang haram pun dihalalkan,” katanya.

Ketika keputusan PRN Melaka sukar dijangka, kemenangan calon bebas seperti Norhizam bakal menjadi penentu nasib kepada kerajaan negeri kelak.