- Iklan -
Berita

Polis Melaka ingatkan hati-hati guna media sosial ketika kempen PRN

Polis Melaka turut menubuhkan pasukan khas bagi memantau platform media sosial secara 24 jam untuk mengenal pasti hantaran yang dimuat naik dalam medium berkenaan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bendera daripada pelbagai parti politik berkibar di Pantai Puteri sempena Pilihan Raya Negeri Melaka 20 November depan.
Bendera daripada pelbagai parti politik berkibar di Pantai Puteri sempena Pilihan Raya Negeri Melaka 20 November depan.

Polis mengingatkan pihak berkepentingan seperti parti politik dan calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka agar sentiasa berhati-hati menggunakan media sosial ketika berkempen bagi menyuburkan proses demokrasi.

Ketua Polis Melaka Abdul Majid Mohd Ali berkata pihaknya telah menubuhkan pasukan khas bagi memantau platform media sosial secara 24 jam untuk mengenal pasti hantaran yang dimuat naik dalam medium berkenaan.

“Pasukan ini melibatkan tiga kumpulan secara bergilir memantau hantaran untuk kita pastikan mereka menggunakannya dengan cara sihat dan bukan untuk menghina, mengganggu-gugat ketenteraman awam atau menghina mana-mana pihak.

“Ini adalah tanggungjawab kita untuk suburkan demokrasi dan bukannya menghasut antara satu sama lain,” katanya dalam program Bicara Khas “Keselamatan PRN Melaka Ke-15” secara langsung di Radio Televisyen Malaysia (RTM), malam tadi.

Abdul Majid berkata apabila sesuatu kesalahan dikesan polis akan membuat laporan supaya siasatan adil dapat dijalankan seterusnya menyerahkan kertas siasatan kepada pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu beliau menasihatkan parti dan calon supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan kementerian kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan proses pilihan raya secara norma baru di negeri ini yang terbaik untuk digunakan pada pilihan raya akan datang.

“Situasi di negeri ini amat terkawal dan terjamin, kita dapat lihat rakyat di Melaka menjalani kehidupan seperti biasa, tiada insiden yang mengganggu-gugat walaupun SOP baru dilaksanakan pada PRN kali ini di samping kematangan parti-parti politik bertanding,” katanya.

Katanya polis juga komited menguatkuasakan undang-undang dalam menjaga ketenteraman awam bagi memastikan rakyat keluar mengundi beramai-ramai dan mereka tidak perlu gusar kerana keselamatan mereka dilindungi di negeri ini.

SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada 16 November, berikutan pembubaran DUN pada 4 Oktober lepas selepas empat ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap ketua menteri.