- Iklan -
Berita

PKR ‘tiada peluang’ di Sarawak, kata pemimpin PBB

Abdul Karim Rahman Hamzah berkata PKR berada di kedudukan paling lemah di bawah kepimpinan yang ada ketika ini.

Nur Shazreena Ali
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah.
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah.

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Abdul Karim Rahman Hamzah hari ini meramalkan PKR tidak akan mempunyai peluang untuk memenangi sebarang kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang bakal diadakan.

Bercakap pada sidang media di Kuching, beliau berkata PKR kini berada di kedudukan paling lemah di bawah kepimpinan sekarang.

“Saya tak percaya PKR ada sebarang peluang sekarang ini,” katanya ketika diminta mengulas peluang parti diketuai Anwar Ibrahim itu dalam PRN Sarawak.

“Mereka mungkin akan bertanding lebih dari 41 kerusi seperti pilihan raya lepas. Mereka bertandung di banyak kerusi tetapi hanya dapat tiga kerusi. Kali ini, mereka tak akan dapat apa-apa kerusi.”

Dua ketua PKR negeri itu keluar parti pada tahun lalu.

Pimpinan veterannya, Baru Bian mengumumkan keluar PKR sewaktu awal krisis politik berlaku pada 2020, dan terbaru ahli Parlimen Julau Larry Sng, yang diamanahkan untuk mengetuai PKR negeri itu selepas Baru keluar parti, turut memutuskan untuk keluar parti dan kekal menjadi ahli Parlimen Bebas.

PKR yang sebelum ini memiliki enam ahli Parlimen di Sarawak, kini hanya memiliki seorang ahli Parlimen: iaitu Ahli Parlimen Miri Michael Teo.

Ia juga turut kehilangan kesemua wakil rakyat di DUN Sarawak.

Menurutnya, pandangan itu adalah berdasarkan pembacaannya terhadap situasi ketika ini, dan mengakui mungkin pandangan beliau tersebut kedengaran “angkuh”.

“Namun dengan keadaan kepimpinan PKR ketika ini, mereka tak akan dapat apa-apa kerusi, walaupun satu kerusi,” katanya.

Dengan keadaan parti yang terumbang-ambing, katanya, GPS dengan senang dapat memenangi PRN.

“Saya yakin GPS bakal menang bergaya, sekurang-kurangnya dua pertiga atau empat perlima majoriti. Saya yakin.”

Karim juga turut berkata calon PKR bagi ketua menteri bakal bertanding di kerusi Asajaya.

“Namun berdasarkan maklumat yang saya dapat, ada tiga calon dari PKR, bukan satu. Ketika ini, ketiga-tiga calon dari parti yang sama keliling Asajaya, cuba untuk lobi bertanding di sana.

“Saya tak tahu kenapa Asajaya sangat penting untuk mereka. Jika begini, saya alu-alukan seberapa ramai calon mereka mahu letak – biar ada pesta di Asajaya,” katanya.

Menurut Karim, beliau gemar pertembungan banyak penjuru, dan percaya SPR pun juga menyukainya.

“Lebih banyak pertembungan adalah satu hal yang baik untuk kerajaan,” katanya.