Tuesday, December 7, 2021

Najib tidak lakukan apa-apa untuk pisahkan diri dari Jho Low, kata bekas CEO 1MDB

Mohd Hazem berkata hubungan antara Najib Razak dan ahli perniagaan dalam buruan Jho Low amat rapat.

Other News

Mahkamah Tinggi diberitahu bekas perdana menteri Najib Razak tidak berkata atau melakukan apa-apa untuk memisahkan dirinya daripada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Memberi keterangan semasa pemeriksaan semula oleh timbalan kanan pendakwa raya Gopal Sri Ram, bekas ketua pegawai eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Mohd Hazem Abdul Rahman berkata Najib tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan untuk tidak mematuhi arahan yang diberikan oleh Jho Low dalam semua perkara berkaitan 1MDB.

Sri Ram: Ketika anda bermesyuarat di rumah tertuduh dan Jho Low hadir, apa yang anda perhatikan mengenai hubungan antara Jho Low dan tertuduh?

Hazem: Mereka teramat rapat.

Sri Ram kemudian menyoal saksi pendakwaan ke-10 berusia 49 tahun itu mengapa beliau mematuhi arahan Jho Low dan Mohd Hazem menjawab semua arahan Jho Low “datang daripada Najib sendiri.”

Hazem juga berkata peranan Jho Low dalam 1MDB telah disembunyikan semasa pertemuan dengan firma perakaunan KPMG Malaysia untuk membincangkan audit syarikat itu kerana Jho Low sendiri telah mengarahkan agar namanya tidak didedahkan.

Ditanya lanjut mengenai penyingkiran KPMG Malaysia sebagai juruaudit pembangunan strategik syarikat itu, Hazem berkata firma tersebut enggan menandatangani laporan audit bagi tahun kewangan 2013 1MDB.

Saksi itu juga berkata beliau telah menerima tekanan termasuk daripada Najib sendiri untuk memastikan bahawa laporan audit tersebut ditandatangani.

“Saya telah dipanggil secara langsung oleh beliau (Najib) yang meminta saya mencari jalan untuk menyelesaikan perkara itu (menandatangani laporan audit) dan satu-satunya cara untuk menyelesaikannya ialah menggantikan KPMG dengan juruaudit baharu.

“Ketika itu, saya berada dalam kedudukan yang tidak membolehkan saya untuk tidak mematuhi Najib kerana beliau adalah perdana menteri,” katanya.

KPMG dilantik sebagai juruaudit 1MDB bagi tahun kewangan 2010, 2011 dan 2012 namun telah dipecat pada 2013 selepas enggan menandatangani akaun bagi tahun kewangan 2013 1MDB.

Hazem juga berkata beliau tidak menerima satu sen pun daripada wang yang didakwa diseleweng daripada dana 1MDB atau diberikan sebarang pampasan kewangan oleh Jho Low atas dakwaan bersubahat untuk menggelapkan wang daripada syarikat itu.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles