Wednesday, December 1, 2021

Mahkamah jenayah tiada kuasa batal perbicaraan kes Rosmah, kata pendakwaan

Menurut pendakwaan, mahkamah jenayah tidak diberi kuasa untuk mengeluarkan pengisytiharan seperti mahkamah sivil.

Other News

Mahkamah jenayah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan perintah pengisytiharan yang dimohon Rosmah Mansor supaya membatalkan perbicaraan kes rasuahnya berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion, Mahkamah Rayuan diberitahu hari ini.

Timbalan pendakwa raya kanan Gopal Sri Ram berkata Rosmah hanya boleh merayu bagi tiga jenis keputusan oleh mahkamah jenayah sama ada untuk membatalkan pertuduhan jenayah atas alasan tidak berasas, membebaskan atau mensabitkan tertuduh yang menghadapi pertuduhan jenayah.

“Mahkamah jenayah tidak diberi kuasa untuk mengeluarkan pengisytiharan seperti mahkamah sivil. Mahkamah jenayah tidak boleh memberikan pengisytiharan dan perayu (Rosmah) sepatutnya memfailkan semakan kehakiman di mahkamah sivil untuk pengisytiharan sedemikian,” katanya di hadapan panel tiga hakim terdiri daripada Hanipah Farikullah, M.Gunalan dan Hashim Hamzah.

Sri Ram berhujah demikian dalam bantahan awal terhadap rayuan Rosmah berhubung keputusan Mahkamah Tinggi pada 24 September yang menolak permohonannya untuk membatalkan perbicaraan rasuah yang dihadapinya dan menggugurkan Sri Ram daripada menjadi pendakwa utama dalam kes itu.

Peguam Jagjit Singh yang mewakili Rosmah berkata isu sama ada mahkamah jenayah boleh mendengar perintah pengisytiharan dibangkitkan responden (pendakwa raya) buat pertama kali dan Sri Ram menjawab isu itu boleh dikemukakan pada bila-bila masa.

Sri Ram berkata beliau bersedia untuk berhujah berhubung perkara itu dengan mengemukakan hujahan bertulis dan Jagjit juga tidak ada bantahan mengenainya.

Hakim Hanipah kemudian memerintahkan kedua-dua pihak memfailkan penghujahan bertulis selewat-lewatnya pada 22 November ini memandangkan perkara yang dibangkitkan oleh Sri Ram agak penting dan akan memberi implikasi terhadap merit rayuan Rosmah.

Isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk membatalkan keseluruhan perbicaraan beliau dalam usaha untuk dibebaskan daripada tiga pertuduhan dan menggugurkan Sri Ram sebagai pendakwa utama dalam kes itu.

Rosmah menghadapi pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya Rizal Mansor sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings memperoleh projek bernilai RM1.25 bilion untuk membekalkan tenaga hibrid solar kepada 369 sekolah di luar bandar Sarawak.

Pada 4 Oktober lepas, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Rosmah untuk menangguhkan perbicaraan kes rasuahnya sementara rayuan itu diputuskan.

Susulan keputusan tersebut, Rosmah, 69, telah memberi keterangan membela diri pada perbicaraan kes itu di Mahkamah Tinggi pada 5 Oktober. Perbicaraan akan bersambung pada 8 Disember.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles