- Iklan -
Berita

Larangan jual minuman keras mungkin beri kesan sebaliknya, kata pakar

Mereka berkata tumpuan harus diberikan kepada usaha membendung minum berlebihan, bukan minum secara umum.

Danisyah Dalily
3 minit bacaan
Kongsi
Pakar kesihatan berkata larangan jualan minuman keras  di kedai serbaneka mungkin akan menyebabkan pengguna mencari tempat lain yang tidak sah untuk mendapatkannya. Gambar: AP
Pakar kesihatan berkata larangan jualan minuman keras di kedai serbaneka mungkin akan menyebabkan pengguna mencari tempat lain yang tidak sah untuk mendapatkannya. Gambar: AP

Pakar kesihatan mempersoalkan keberkesanan pelaksanaan larangan jualan minuman keras di kedai serbaneka dan kedai runcit baru-baru ini akan dapat mengelakkan atau menurunkan kadar masalah sosial, mengatakan langkah tersebut mungkin memberikan kesan sebaliknya.

Larangan yang berkuat kuasa awal bulan ini, melarang jualan minuman keras di premis tersebut walaupun minuman jenis bir masih boleh dijual pada waktu tertentu selain perlu diasingkan daripada minuman lain.

Langkah itu juga mencetuskan kecaman daripada orang ramai dan sekumpulan ahli Parlimen yang mengatakan ia tidak konsisten dengan slogan “Keluarga Malaysia” kerajaan selain dilihat tidak adil kepada warga yang bukan beragama Islam.

Selai isu hak yang dibangkitkan, pakar kesihatan dihubungi MalaysiaNow berkata larangan tersebut mungkin tidak membantu dalam usaha mengurangkan gejala sosial.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia Dr Koh Kar Chai berkata terdapat perbezaan antara mengekang pengambilan alkohol dan membendung penggunaan alkohol berlebihan.

“Kita harus meneliti kaedah-kaedah bagi mengurangkan pengambilan alkohol yang berlebihan,” katanya.

“Melarang penjualan minuman keras di tempat-tempat seperti itu hanya akan mengalihkan pengguna alkohol dalam kalangan masyarakat untuk mencari sumber lain untuk membelinya.”

Koh juga mempertikaikan kemungkinan yang mengatakan larangan tersebut akan menurunkan kadar pengambilan alkohol berlebihan , mengatakan minuman keras masih boleh didapati di kedai lain di mana jualan minuman keras dibenarkan.

Seorang pakar psikiatri dan pakar dalam perubatan ketagihan Dr Philip George berkata penurunan mendadak dalam akses kepada alkohol boleh mengakibatkan kegagalan yang sama pernah direkodkan dalam sejarah Amerika Syarikat sepanjang tempoh larangan serupa pada 1920-an.

Walaupun pengambilan alkohol berkurangan pada permulaan larangan jualannya, ia bagaimanapun mempunyai kesan sebaliknya apabila aktiviti jenayah semakin berkembang dan menjadi lebih teratur.

George berkata perkara utama yang perlu diambil perhatian ialah menghentikan akses kepada minuman keras murah di kedai, sambil menambah minuman sedemikian selalunya tidak mengikut piawaian kawalan kualiti.

Menurutnya, proses penyulingan yang betul biasanya diabaikan pengeluar minuman sedemikian menyebabkan tahap toksik metanol meningkat sehingga boleh menyebabkan kematian.

Beliau menambah, kebiasaannya minuman keras murah juga datang dalam saiz kecil, menjadikannya lebih mudah diakses.

Mei Tan, yang bekerja di sebuah kedai runcit bersetuju larangan jualan minuman keras di beberapa premis tidak akan memberi banyak kesan dalam usaha mengekang pengambilan alkohol secara berlebihan.

“Orang ramai masih boleh mendapatkan minuman beralkohol di tempat lain, baik secara sah atau lebih bahaya, secara haram,” katanya.

Katanya, cara lain untuk orang ramai mengabaikan larangan itu ialah dengan cara menyimpan stok alkohol di rumah, atau membeli minuman keras murah dalam talian.

“Saya tidak fikir larangan itu akan beri banyak kesan melainkan jika kerajaan klasifikasikan alkohol sebagai barang terkawal di mana orang ramai hanya boleh membelinya dalam jumlah tertentu.”

Jurucakap Heineken Malaysia Renuka Indrarajah juga turut bersetuju minuman alkohol yang tidak memiliki pengesahan rasmi sudah menjadi kebimbangan di negara ini.

Bercakap kepada MalaysiaNow, beliau berkata peraturan yang berlebihan dan menaikkan lagi kadar duti eksais akan menjadikan produk tersebut menjadi lebih mahal, menyemarakkan pasaran haram dan mengakibatkan kutipan cukai yang lebih rendah.

Beliau juga berkata syarikat itu juga berusaha untuk menerajui usaha kempen penggunaan alkohol yang bertanggungjawab.

“Komitmen kami terhadap penggunaan alkohol secara bertanggungjawab sudah termaktub dalam kod pemasaran bertanggungjawab (RMC) kami, dan bahan beralkohol itu disemak berdasarkan lapan prinsip termasuk tidak mendedahkan minuman itu kepada golongan bawah umur dan tidak mengaitkan jenama minuman keras dengan tingkah laku anti-sosial atau penggunaan berlebihan,” katanya.

George berkata pengambilan alkohol secara sederhana terbukti bermanfaat untuk kesihatan, sambil menambah penggunaan alkohol yang banyak harus dielakkan.

“Dalam komuniti di mana penggunaan minuman beralkohol dibenarkan, budaya minuman sosial dengan kadar sederhana terbukti bermanfaat dan jumlah alkohol yang diambil dengan kadar sederhana dalam suasana bersosial boleh meningkatkan emosi positif dan ikatan sosial serta melegakan emosi negatif dalam kalangan mereka yang minum,” katanya.

Amalan minum dengan kadar sederhana juga dianggap memiliki kesan positif pada jantung dan sistem peredaran darah dan boleh memberikan perlindungan terhadap diabetes jenis-2 dan batu karang.

Namun sebaliknya, amalan minum dengan kadar banyak adalah punca utama kematian yang boleh dicegah di kebanyakan negara, katanya.

“Jadi pada dasarnya, alkohol adalah ubat dan racun.”

Koh bersetuju bahawa amalan minum untuk bersosial bukanlah satu isu.

Sebagai seorang doktor perubatan, beliau berkata pengambilan alkohol secara berlebihan harus dilihat sebagai penyakit yang perlu dirawat.

Beliau juga berkata usaha juga perlu dilakukan bagi mendedahkan kepada orang ramai apakah punca kebergantungan individu kepada alkohol kononnya untuk melupakan masalah peribadi.

Sementara itu, Mei pula berkata wujud cara lain untuk mendekati isu tersebut.

“Sebagai permulaan, kerajaan harus lebih tegas dalam menguatkuasakan peraturan jual beli arak,” katanya.

“Sebagai contoh, pastikan semua orang yang ingin membeli alkohol menunjukkan IC mereka terlebih dahulu.”

Bagi George pula, ia merupakan perkara atau masalah individu.

Katanya, pengambilan minuman beralkohol oleh anak muda atau penganut Islam tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya terhadap ketersediaan minuman beralkohol itu di pasaran kerana ia bergantung kepada nilai dan prinsip seseorang.

“Jika nilai-nilai dan prinsip kita lemah atau goyah maka keinginan untuk menyalahgunakan atau menggunakan minuman keras secara berlebihan akan meningkat,” katanya.