- Iklan -
Berita

Laporan audit dapati hartanah pelaburan PMINT tidak diurus dengan cekap

PMINT juga menanggung kerugian daripada pelaburan projek usaha sama di Paya Bunga Plaza.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menurut LKAN 2019, pengurusan aktiviti pelaburan PMINT tidak cekap kerana terdapat kelemahan dalam aspek penguatkuasaan terhadap tunggakan hasil dan berlaku kehilangan hasil sewaan. Gambar: Bernama
Menurut LKAN 2019, pengurusan aktiviti pelaburan PMINT tidak cekap kerana terdapat kelemahan dalam aspek penguatkuasaan terhadap tunggakan hasil dan berlaku kehilangan hasil sewaan. Gambar: Bernama

Hartanah pelaburan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) tidak diuruskan dengan cekap dan berkesan sehingga menyebabkan berlaku kehilangan hasil, menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2019 Siri 2.

Laporan yang dikeluarkan hari ini turut mendedahkan bahawa meskipun aspek prestasi aktiviti, peratus penyewaan berbanding lot tersedia menunjukkan trend peningkatan dari 2017 hingga 2020, namun sasaran hasil sewaan masih tidak dapat dicapai.

“Pengurusan aktiviti pelaburan PMINT tidak cekap kerana terdapat kelemahan dalam aspek penguatkuasaan terhadap tunggakan hasil dan berlaku kehilangan hasil sewaan yang berpunca daripada kegagalan perbadanan itu menguatkuasakan klausa perjanjian mengenai kajian semula kadar sewa,” menurut LKAN Tahun 2019 Siri 2 yang dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Terenggamu.

“PMINT juga menanggung kerugian daripada pelaburan projek usaha sama di Paya Bunga (PB) Plaza,” menurut laporan itu.

Dalam pada itu laporan berkenaan juga menyebut bahawa pelaksanaan program kemasyarakatan dan projek kecil pembangunan DUN yang dilaksanakan di pejabat daerah Kuala Terengganu, Besut dan Hulu Terengganu adalah memuaskan daripada aspek pelaksanaan projek kecil pembangunan berbanding sasaran.

Bagaimanapun laporan tersebut menyatakan, tidak dapat ditentukan sama ada program atau projek yang dilaksanakan telah memenuhi keperluan rakyat seperti yang dihasratkan kerana tiada mekanisme atau indikator tertentu diwujudkan bagi menilai pencapaian keberhasilan program atau projek tersebut.

“Aspek pengurusan pula masih mempunyai kelemahan seperti pelaksanaan program yang tidak selari dengan Garis Panduan DUN, ada pembekalan/projek yang tidak dibekalkan sepenuhnya/tidak mengikut spesifikasi serta berlaku ketirisan wang awam yang disebabkan oleh tuntutan palsu,” menurut laporan itu.

Untuk membaiki kelematan yang dilaporkan itu, Jabatan Audit Negara mengemukakan tiga syor masing-masing terhadap pengurusan hartanah pelaburan PMINT, program kemasyarakatan dan projek kecil pembangunan DUN.