- Iklan -
Berita

Penarik beca Melaka rindu wakil rakyat turun padang

Penarik beca di Melaka merasakan nasib mereka kurang diberi perhatian sejak tamat era pentadbiran Ali Rustam.

Azzman Abdul Jamal
3 minit bacaan
Kongsi
Penarik beca menunggu pelanggan untuk dibawa bersiar di sekitar Bandar Melaka.
Penarik beca menunggu pelanggan untuk dibawa bersiar di sekitar Bandar Melaka.

Sejak beberapa tahun lamanya, penarik beca telah menjadi sebahagian tarikan utama kepada pelancong untuk melawat Melaka, mereka membawa beca penuh hiasan di sekitar ibu negeri itu.

Ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semakin hampir untuk memilih kerajaan negeri yang baru, mereka  berharapa kerajaan baru yang bakal dibentuk akan lebih kerap turun padang dan meninjau keadaan penarik beca di Bandar Melaka.

Ketika ditemui MalaysiaNow, mereka berkata sejak tamat era pentadbiran Mohd Ali Rustam sebagai ketua menteri Melaka pada 2013, nasib penarik beca kurang diberi perhatian sekali gus membuatkan mereka berasa tidak dipedulikan.

Nixon Sebastion menunggu pelanggan, becanya menjadi sumber rezeki sejak 12 tahun lalu.

Nixon Sebastion, 51, berkata bantuan dan sumbangan yang diberikan Ali sebenarnya tidaklah jauh beza dengan apa yang diterima daripada kerajaan negeri sekarang, cumanya beliau sering meninjau keadaan mereka dan bertanyakan khabar.

Katanya, ini membuatkan golongan penarik beca merasa sangat dihargai dan mudah untuk meluahkan segala masalah yang dihadapi.

“Bukan sahaja beliau banyak menyumbang kepada pembangunan pelancongan di negeri ini, beliau juga selalu datang lawat kami dan bertanyakan keadaan penarik beca,” katanya.

“Sekarang sudah tiada. Jarang dapat berjumpa dengan ketua menteri atau wakil rakyat.”

Menurut Sebastion, dia sudah 12 tahun bekerja sebagai penarik beca di bandar bersejarah itu.

Sekumpulan penarik beca menanti pengunjung untuk dibawa mengelilingi sekitar Bandar Melaka.

Zulkifli Ahmad, 38, yang sudah lapan tahun menjadi penarik beca, berkata kerajaan atau ketua menteri yang bakal menang PRN ini diharap akan mencontohi sikap Ali supaya tidak terus lupa diri dan sentiasa mengingati mereka yang berada “di bawah”.

“Sejak Idris Haron menggantikan Mohd Ali sebagai ketua menteri, diikuti dengan Adly Zahari dan Sulaiman Md Ali, keadaan tidak semeriah dulu.

“Tidak kira siapa akan menang PRN ini sama ada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (BN), atau Pakatan Harapan (PH), kami hanya pedulikan jika kerajaan mengambil berat terhadap nasib penarik beca,” tambahnya.

Mengulas mengenai cabaran berdepan pandemik Covid-19 Mac tahun lalu, Zulkefli berkata, ramai dalam kalangan penarik beca hilang sumber pendapatan apabila tidak dapat meneruskan operasi sepanjang tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Katanya, ramai dalam kalangan penarik beca terpaksa beralih kepada pekerjaan lain secara sementara untuk terus meraih pendapatan.

“Ada yang memandu Grab, menghantar makanan dengan Foodpanda dan ada juga yang bekerja kontrak. Pelbagai kerja kami lakukan ketika operasi beca terpaksa ditutup,” kata Zulkefli.

Pada 1 Jun, kerajaan melaksanakan penutupan penuh sektor ekonomi dan sosial di seluruh negara ekoran peningkatan mendadak kes Covid-19 di Malaysia.

Jack berkata penarik beca tidak mendapat pendapatan banyak kerana terpaksa bersaing dengan perkhidmatan e-hailing.

Namun begitu, Melaka membuka semula sektor pelancongan negeri pada 1 Oktober lalu apabila beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Penarik beca yang hanya mahu dikenali sebagai Jack, 34, berkata langkah ini memberi “ruang bernafas” kepada penarik beca apa negeri itu mula menerima kehadiran pelancongan tempatan.

Menurut Jack, Zulkefli dan Sebastion, pendapatan mereka kembali pulih antara RM1,500 hingga RM2,000 sebulan selepas aktiviti pelancongan di kawasan itu kembali hidup.

“Bagaimanapun ia bergantung kepada keadaan.

“Pendapatan kami sekarang juga tidaklah seperti dulu kerana jumlah penarik beca sudah bertambah dan ini meningkatkan lagi persaingan,” kata Jack sambil menambah kini 345 beca di kawasan bandar Melaka yang berdaftar di bawah Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Katanya, meskipun bersyukur dengan bantuan bayaran RM600 secara “one-off” kepada penarik beca sebagai bantuan PKP, mereka agak terkilan apabila pengumuman mengenai bantuan banyak dinyatakan kepada pihak lain terdahulu.

“Bila sebut tentang bantuan PKP, selalu dengar ‘orang lain’ dapat dulu, untuk kami mesti diumumkan kemudian. Seolah-olah kami tidak penting.

“Kami berharap kerajaan akan lebih komited untuk pastikan operasi beca di Melaka akan diteruskan kerana ia merupakan perkhidmatan legasi yang wujud setelah sekian lama sebagai tarikan pelancong di negeri ini,” tambahnya.