- Iklan -
Berita

Nagaenthran dinafikan proses sewajarnya sejak ditahan, LFL selar Singapura

Lawyers for Liberty berkata pelarasan dan kemudahan tidak pernah diberikan berhubung ketidakupayaan mental Nagaenthran K Dharmalingam.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Aktivis memegang gambar Nagaenthran K Dharmalingam dalam satu himpunan penyerahan memorandum di Parlimen pada 3 November lalu.
Aktivis memegang gambar Nagaenthran K Dharmalingam dalam satu himpunan penyerahan memorandum di Parlimen pada 3 November lalu.

Kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) hari ini menyelar kenyataan kerajaan Singapura yang mendakwa Nagaentran K Dharmalingam menjalani “proses yang sewajarnya”, mengatakan banduan warga Malaysia itu sejak awal lagi menjalani prosedur perundangan yang tidak mempertimbangkan kecacatannya.

Penasihat LFL N Surendran yang turut mewakili keluarga Nagaenthran berkata proses sewajarnya dalam kes orang kurang upaya seperti Nagaenthran mesti mengambil kira kemudahan dan prosedur khusus dalam sistem kehakiman jenayah yang mempertimbangkan kecacatannya dan membuat pelarasan penting untuknya.

“Dari saat dia ditahan, disiasat hingga akhirnya perbicaraan, ‘prosedur yang diselaraskan’ ini sepatutnya dibuat untuk memihak kepada Nagaenthran,” katanya.

“Jika dilayan seperti defendan lain yang mempunyai kebolehan mental normal, Nagaentran tidak akan diberikan proses atau perbicaraan yang adil.

“Tetapi hakikatnya, inilah yang berlaku: Nagaentran dilayan seperti mana-mana suspek atau orang yang dituduh biasa.”

Surendran merujuk maklum balas kerajaan Singapura terhadap surat yang ditulis Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Luar Negeri Saifuddin Abdullah bagi pihak Nagaenthran.

Banduan yang sepatutnya menjalani hukuman matinya pada 10 November ditangguhkan selepas beliau disahkan dijangkiti Covid-19.

Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan Menteri Luar Vivian Balakrishnan berkata dalam satu kenyataan bahawa Nagaenthran, yang ditahan pada 2009 kerana menyeludup 42.72g diamorfin ke dalam republik itu dan dijatuhi hukuman mati pada 2010, diberikan “proses yang sewajarnya di bawah undang-undang.”

Permintaan peguamnya untuk mendapatkan pengampunan presiden telah ditolak pada Jun tahun lalu.

Peguam hak asasi manusia terkemuka M Ravi juga turut memulakan rayuan terakhir untuk Nagaenthran dalam usaha saat akhir bagi menyelamatkan nyawanya.

Kumpulan hak asasi manusia dan aktivis juga turut mengadakan bantahan dan mengingatkan kerajaan Singapura tentang kewajipannya mematuhi perjanjian antarabangsa yang melarang hukuman mati bagi orang kurang upaya (OKU) mental.

Kemarahan terhadap pelaksanaan hukuman Nagaenthran tercetus dan berpunca daripada pengesahan diagnosis ketidakupayaan mentalnya, yang mendapati dia hanya memiliki IQ 69 – di bawah ambang 70 bagi membolehkan seseorang individu disahkan sebagai OKU mental yang tidak memiliki keupayaan intelek.

Namun, pihak berkuasa berkata mahkamah Singapura berpuas hati dan mendakwa Nagaenthran tahu apa yang dia lakukan.

Negara itu memiliki beberapa undang-undang paling keras di dunia berhubung kesalahan dadah.

Surendran berkata jawapan kerajaan republik itu kepada pemimpin Malaysia adalah “palsu, tiada perasaan dan tidak boleh dipertahankan”.

“Hakikat inilah yang menyebabkan seseorang OKU mental seperti Nagaenthran terpaksa berdepan hukum gantung sampai mati sehingga mencetuskan kecaman dari seluruh dunia yang kita lihat dalam beberapa minggu kebelakangan ini,” tambahnya.

“Untuk mengatakan dia menjalani ‘proses yang wajar’ kepada seseorang yang mengalami kecacatan mental, tidak memberikan sebarang makna.”

Sebaliknya, kata Surendran, soal siasat dan kenyataan polis direkodkan yang kemudian digunakan terhadap Nagaentran di mahkamah.

“Ringkas kata, Nagaentran dinafikan proses sewajarnya sejak hari pertama.”

Mengingatkan sekali lagi Singapura tentang kewajipannya untuk mematuhi Konvensyen PBB mengenai Hak OKU, beliau berkata hanya ada satu respons yang boleh dibuat Singapura kepada Malaysia yang akan selaras dengan konvensyen tersebut dan perlembagaannya.

“Respons yang betul adalah berikan pengampunan kepada Nagaenthran dan menjadikan undang-undang dan prosedur jenayah Singapura selaras dengan hak OKU.”