- Iklan -
Berita

Suasana PRN Melaka tidak meriah akibat SOP Covid-19

Pengundi masih takut dengan Covid-19, keletihan politik antara punca rakyat tak teruja untuk mengundi.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Kibaran bendera yang menghiasi suasana kempen PRN Melaka yang akan diadakan pada 20 November depan.
Kibaran bendera yang menghiasi suasana kempen PRN Melaka yang akan diadakan pada 20 November depan.

Prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19 ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyekat pelbagai aktiviti sepanjang tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Antara larangan itu termasuklah ziarah rumah ke rumah, mengedar pamplet dan aktiviti yang sering menjadi tumpuan ketika pilihan raya, ceramah politik juga tidak dibenarkan.

Tinjauan MalaysiaNow di sekitar negeri bersejarah itu mendapati bendera dan poster yang dinaikkan tidak semeriah seperti pilihan raya sebelum ini.

Seorang pensyarah di sebuah institut pengajian tinggi di Lendu, Melaka yang tidak mahu dinamakan berkata, ramai penduduk terutama warga emas masih bimbang dengan ancaman Covid-19.

“Saya tak rasa ramai yang hendak keluar mengundi nanti, tambahan orang tua,” katanya kepada MalaysiaNow ketika ditemui di Alor Gajah baru-baru ini.

SPR kelihatan lebih optimis dan menjangkakan sasaran 70% keluar mengundi.

Jumlah itu tinggi sedikit berbanding PRN Sabah tahun lepas sebanyak 66.61%.

Menurut lelaki pertengahan usia itu, tidak ada isu yang besar yang boleh jadi pemangkin kepada semangat pengundi.

PRN kali ini, katanya hanyalah disebabkan orang politik yang bergaduh.

Beliau merujuk kepada tindakan empat ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) menarik semula sokongan terhadap kepimpinan ketua menteri, Sulaiman Md Ali pada awal bulan lepas.

Keempat-empat mereka ialah Adun Sungai Udang, Idris Haron, Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu)dan Noor Effandi Ahmad (Telok Mas).

“Ramai orang sedang bergelut untuk cari makan, ‘mood’ pengundi juga tidak memberangsangkan.”

Beliau memberitahu, “group” WhatsApp juga tidak aktif dengan cerita-cerita politik, melainkan beberapa ahli menghantar mesej memaparkan grafik calon pilihan masing-masing.

“Tiada orang mahu respons pun dalam ‘group’, semua dah malas.

“Tidak seperti PRU lepas, group keluarga dan taman meriah dengan cerita politik,” katanya yang mengundi di Paya Rumput pada 20 November ini.

Berikutan larangan kempen fizikal, parti-parti politik membawa “pertempuran” mereka di alam maya, namun enjin kempen secara dalam talian “lambat panas” pada awalnya dan mula bergerak aktif beberapa hari selepas pencalonan.

Kesemua parti dilihat sedang berusaha untuk menyampaikan maklumat di laman sosial.

DAP contohnya, menyiarkan program bual bicara di laman Facebook mereka yang dijadualkan pukul 9 malam setiap hari.

Jentera parti politik juga kelihatan lambat untuk memaklumkan media mengenai pergerakan calon.

Hanya setelah desakan dibuat berkali-kali oleh pengamal media, barulah kelihatan satu atau dua jadual calon parti politik.

Parti politik terpaksa bertindak lebih kreatif dalam kempen pilihan raya yang terbatas ekoran pandemik melanda negara.

Namun jentera kempen dijangka semakin aktif selepas ini.

Namun tidak semua “malas” ingin mengikuti kempen PRN.

Mohd Azri, 29 yang bekerja di sebuah firma audit di Ayer Keroh berkata dia masih ambil tahu isu-isu berkaitan di negerinya.

Ahli keluarganya juga masih cakna dengan perkembangan politik, meskipun tiada keterujaan diberikan kepada mana-mana parti.

Azri yang akan mengundi di Dewan Udangan Negeri (DUN) Serkam menyatakan hasrat untuk turun mengundi pada 20 November ini.

PRN kali ini bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara blok politik utama negara, iaitu Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.

Sejumlah 112 kertas pencalonan diterima oleh SPR bersempena PRN Melaka ini.

Selain tiga blok politik utama, Putra dan Iman mengesahkan penyertaan selain 22 calon bebas.