Wednesday, December 1, 2021

Permohonan Rosmah supaya hakim Mahkamah Tinggi tarik diri didengar 14 Disember

Peguam Rosmah berkata permohonan tersebut akan didengar di hadapan Zaini.

Other News

Permohonan Rosmah Mansor supaya hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menarik diri daripada mendengar kes pengubahan wang haram (Amla) dan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang dihadapinya, akan didengar pada 14 Disember ini di Mahkamah Tinggi.

Rosmah, 69, yang memfailkan permohonan itu pada 2 November lepas, memohon perintah bahawa lanjutan daripada penarikan diri hakim Mohamed Zaini, kes berkenaan akan ditetapkan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi lain.

Peguam Geethan Ram Vincent yang mewakili isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu berkata permohonan tersebut akan didengar di hadapan Zaini.

“Mahkamah mengarahkan pemohon (Rosmah) memfailkan hujahan bertulis pada 3 Disember manakala responden (pendakwa raya) pada 10 Disember dan kedua-dua pihak, masing-masing perlu memfailkan hujahan balasan pada 19 dan 26 November,” katanya kepada pemberita selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Catherine Nicholas yang turut disertai timbalan pendakwa raya Poh Yih Thinn.

Sementara itu, Geethan berkata mahkamah juga menetapkan tarikh sama (14 Disember) untuk perbicaraan hari pertama kes Amla selain menetapkan 10 hingga 13 Januari dan 24 hingga 27 Januari 2022 untuk sambung bicara.

Poh turut mengesahkan perkara berkenaan.

Rosmah berdepan 12 pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada LHDN.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda nilai aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan berkaitan LHDN, Rosmah didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan seperti mana yang diperuntukkan Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada ketua pengarah hasil dalam negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 dengan tiada sebab yang munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles