- Iklan -
Berita

Kadar penggunaan katil ICU di Terengganu membimbangkan

Pengarah kesihatan Terengganu berkata beliau telah menjangka kebenaran rentas negeri dan masuknya negeri itu ke Fasa Empat PPN bakal menyaksikan peningkatan kes.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Petugas kesihatan lengkap berpakaian PPE duduk bagi melepaskan penat sewaktu bertugas. Gambar: Bernama
Petugas kesihatan lengkap berpakaian PPE duduk bagi melepaskan penat sewaktu bertugas. Gambar: Bernama

Kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) bagi pesakit Covid-19 di Terengganu berada pada tahap membimbangkan apabila telah mencapai 84% setakat ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu Dr Kasemani Embong berkata kadar penggunaan katil ICU itu disumbangkan oleh peningkatan jumlah pesakit Covid-19 Kategori Lima sejak dua minggu lepas.

“Apabila ada kebenaran rentas negeri dan masuknya Terengganu ke Fasa Empat (Pelan Pemulihan Negara) memang kita jangkakan ada peningkatan kes ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Wad ICU Hybrid di Hospital Sultanah Nur Zahirah hari ini.

Wad ICU Hybrid berkapasiti 10 katil itu yang akan mula digunakan minggu hadapan, menjadikan jumlah keseluruhan katil ICU bagi pesakit Covid-19 di Terengganu kini sebanyak 43 buah.

Dalam pada itu Dr Kasemani berkata setakat ini pihaknya menganggarkan sebanyak 324,000 individu termasuk kira-kira 30,000 petugas barisan hadapan di Terengganu akan menerima dos penggalak Covid-19.

Selain petugas barisan hadapan kementerian kesihatan Malaysia (KKM) dan bukan KKM, warga emas berusia 60 tahun ke atas dan pesakit komorbid juga telah mula diberikan tarikh janji temu menerusi aplikasi MySejahtera bagi mendapatkan dos berkenaan.

“Mereka yang menerima janji temu melalui MySejahtera ini akan mendapat suntikan penggalak di klinik swasta yang telah berdaftar dengan kita (KKM),” katanya.