Thursday, December 2, 2021

Antivaksin dikena sekatan, selari Perlembagaan atau nafi hak?

Individu miliki hak, namun masyarakat juga ada hak, kata pakar undang-undang.

Other News

Ketika sektor sosial dan ekonomi negara dibuka dan kelonggaran lebih luas diberikan bagi yang lengkap divaksinasi, timbul persoalan mengenai golongan yang tidak mahu divaksin, dan apakah sekatan yang dikenakan ke atas mereka selaras dengan hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sebagai contoh, premis perniagaan tertentu hanya boleh menerima pelanggan yang lengkap divaksinasi, malahan aktiviti seperti menonton wayang pada hujung minggu kini mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi lengkap.

Penjawat awam juga diwajibkan menerima suntikan vaksin awal bulan ini, malahan boleh berdepan tindakan tatatertib dan dipecat jika enggan.

Walaupun langkah sedemikian mungkin dilabel sebagai zalim bagi sesetengah pihak, pakar undang-undang yang dihubungi MalaysiaNow berkata ia adalah hak kerajaan.

Profesor di Universiti Nasional Singapura Andrew Harding, berkata Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342, yang kini digunakan untuk memerangi wabak itu, adalah sah dari segi Perlembagaan.

“Perlembagaan membenarkan sekatan ke atas kebebasan peribadi mengikut undang-undang, berdasarkan Perkara 5(1),” katanya merujuk klausa yang menyatakan tiada seorang pun boleh dilucutkan nyawa atau kebebasan peribadi kecuali mengikut undang-undang.

Harding, yang menjalankan penyelidikan mengenai Perlembagaan Persekutuan, turut memetik Perkara 10 (2)(b) yang menyatakan kebebasan berhimpun tertakluk kepada sekatan yang difikirkan perlu demi kepentingan keselamatan persekutuan.

Sementara itu, pensyarah undang-undang di Taylor’s University Wilson Tay berkata sekatan terhadap kebebasan asasi mestilah berkadar.

“Ia mesti berkait dengan objektif atau matlamat yang penting bagi mewajarkan sekatan hak yang dilindungi Perlembagaan,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Langkah-langkah yang diambil untuk mencapai objektif itu juga mesti munasabah dan wajar.”

Bulan lalu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kerajaan akan “menyukarkan hidup” golongan yang enggan divaksinasi sehingga mencetuskan bantahan pihak tertentu yang mengatakan langkah tersebut bertentangan dengan Perlembagaan.

Pengkritik juga berkata mereka yang enggan disuntik telah ditindas dan dinafikan hak selain turut menunjukkan beberapa laporan media yang menyatakan ahli Parlimen yang tidak mendapat vaksin tidak akan dihalang daripada memasuki Dewan Rakyat.

Tay berkata persoalan sama ada amaran Khairy itu selaras Perlembagaan atau tidak adalah bergantung kepada kadar kewajaran langkah yang diambilnya.

Bagi ahli Parlimen yang tidak divaksinasi dibenarkan memasuki Parlimen, Tay dan Harding berkata isu itu adalah lebih rumit daripada perbandingan tersebut.

“Ahli Parlimen miliki keistimewaan Parlimen dan tidak boleh dihalang daripada menghadiri Parlimen,” kata Harding.

“Dalam pengertian ini, undang-undang memang dilihat berat sebelah namun bukannya tidak sah kerana hal itu.”

Sementara itu, Tay pula berkata pelaksanaan berat sebelah hanya akan berlaku jika seseorang yang enggan divaksinasi dilarang makan di restoran sebaliknya ahli Parlimen yang tidak divaksinasi dibenarkan masuk.

Walaupun kadar vaksinasi Malaysia diiktiraf dan dipuji di peringkat antarabangsa, masih terdapat segelintir yang masih teragak-agak atau enggan menerima vaksin.

Pada Rabu, Parlimen diberitahu kira-kira 29,000 penjawat awam masih belum menerima suntikan vaksin.

Satu pilihan yang diambil beberapa negara ialah mewajibkan vaksinasi.

Setakat ini, tiga negara telah mengambil pilihan tersebut: Indonesia, Micronesia dan Turkmenistan.

Fabruari lalu, Indonesia mengumumkan mereka yang enggan divaksinasi boleh dinafikan bantuan sosial, perkhidmatan awam atau dikenakan denda.

Sementara itu, Micronesia dan Turkmenistan pula mewajibkan penduduk dewasa mengambil vaksin.

Satu lagi pendekatan adalah mewajibkan vaksinasi terhadap petugas dalam sektor kesihatan seperti yang diputuskan kerajaan Britain baru-baru ini.

Bagaiamanapun, Harding berkata mewajibkan vaksinasi tidak akan menyelesaikan apa-apa.

“Individu mempunyai hak untuk tidak diberi vaksin,” katanya.

“Manakala masyarakat pula mempunyai hak untuk melindungi diri mereka dengan mengenakan sekatan ke golongan itu.

“Kita miliki hak untuk buat keputusan, namun keputusan yang kita ambil juga ada akibatnya.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles