- Iklan -
Berita

28 calon PRN Melaka akan tandatangan aku janji perangi rasuah

Muhyiddin berkata ia selari dengan pendirian yang didukung gabungan itu untuk menentang salah guna kuasa dan rasuah serta memberi layanan yang adil kepada semua pihak.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin (dua, kanan) merangkap Presiden Bersatu, hadir pada program Pentas Pilihan Raya Negeri Melaka di sebuah hotel semalam.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin (dua, kanan) merangkap Presiden Bersatu, hadir pada program Pentas Pilihan Raya Negeri Melaka di sebuah hotel semalam.

Kesemua 28 calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu menandatangani aku janji sebagai komitmen memerangi rasuah.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata ia selari dengan pendirian yang didukung gabungan itu untuk menentang salah guna kuasa dan rasuah serta akan memberi layanan yang adil kepada semua pihak.

“Ini adalah jaminan  PN dan jaminan yang sama untuk rakyat Melaka. Untuk menunjukkan kita komited perangi rasuah, kita telah sediakan aku janji dan calon perlu menandatangani aku janji ini dalam sehari dua.

Ini untuk memberitahu rakyat bahawa kerajaan yang dibentuk selepas 20 November ini adalah kerajaan PN Melaka dengan dasar yang diamalkan berteraskan kepada prinsip yang saya jelaskan tadi,” katanya pada Program Pentas PRN Melaka PN yang diadakan malam tadi.

Program yang turut dihadiri Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Presiden Gerakan Dominic Lau Hoe Chai turut disiarkan menerusi Facebook rasmi Muhyiddin.

Muhyiddin yang juga presiden Bersatu berkata selain itu, manifesto PN bagi PRN berkenaan akan diumumkan dan diperincikan dalam masa terdekat.

Ahli Parlimen Pagoh itu juga berharap agar sedikit kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) PRN Melaka diberikan dengan membenarkan calon untuk bertemu pengundi.

Beliau yang juga pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata susulan SOP khas PRN yang ketat, beliau menggesa agar semua calon yang bertanding diberi peluang untuk muncul di kaca televisyen bagi memperkenalkan diri masing-masing.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada 16 November, berikutan pembubaran DUN pada 4 Oktober lepas selepas empat ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap ketua menteri.

- Iklan -

Paling Popular