- Iklan -
Berita

Rauf sangkal label ‘naga dan buaya’, akui seorang yang merendah diri

Rauf berkata persepsi beliau sebagai 'abang besar' melebihi ketua menteri hanyalah anggapan yang dimainkan ahli politik tertentu.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi BN Melaka Ab Rauf  melambai tangan semasa mendaftar sebagai calon DUN Tanjung Bidara.
Pengerusi BN Melaka Ab Rauf melambai tangan semasa mendaftar sebagai calon DUN Tanjung Bidara.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka Ab Rauf Yusoh menyangkal pandangan sesetengah pihak yang melabel beliau sebagai “naga, buaya, singa atau harimau” di Melaka; sebaliknya beliau melihat dirinya sekadar seorang yang “humble” kepada parti.

Beliau yang diajukan soalan panas berhubung persepsi yang dimainkan pihak tertentu terhadap dirinya, yang didakwa menjadi “abang besar” melebihi Ketua Menteri Sulaiman Md Ali berkata, dirinya dilabelkan sedemikian rupa berikutan tanggungjawab dan amanah yang digalasnya di Melaka selain menganggap ia permainan politik pihak tertentu

“Saya dilihat begitu kerana saya memandu dan memayungi pimpinan saya bagi memenangi PRN Melaka, jadi saya menyanggah semua persepsi ini dengan hati terbuka. Bagaimanapun sebagai pemimpin pastinya kritikan selalu ada, dan saya melihat ‘anggapan’ sebegini semuanya adalah permainan politik pihak tertentu,” kata pengerusi perhubungan Umno Melaka itu kepada Bernama TV dalam satu temu bual eksklusif hari ini.

Beliau yang bertanding sebagai calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara menyifatkan pihak yang memainkan isu berkenaan sebagai tidak bertanggungjawab bukan sahaja pada diri sendiri, malah kepada negeri dan masyarakat Melaka.

Ab Rauf juga tidak menolak kemungkinan serangan ke atasnya dibuat berikutan terdapat pihak yang mengidam jawatan ketua menteri, dan cuba mencipta persepsi negatif ini dalam kalangan rakyat terhadapnya.

“Isu ini dimainkan oleh mereka yang kecewa, tidak dapat meletakkan diri dia sebagai Ketua Menteri sekali lagi kerana perancangan awalnya dia boleh mengambil alih kerajaan negeri, tetapi dia dipermainkan dan dipergunakan untuk menjatuhkan kerajaan negeri, akhirnya tidak diizinkan menjadi ketua menteri. Jadi dia mengalihkan isu ini,” katanya.

Sebagai individu yang mengepalai Umno di Melaka, Ab Rauf berkata dirinya dilihat rapat dengan Sulaiman, namun menurutnya beliau masih menghormati sempadan dan tidak pernah mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri.

Ab Rauf yang disifatkan sebagai calon “heavyweight” bagi merebut kerusi panas di DUN Tanjung Bidara, akan berhadapan dengan calon Perikatan Nasional (PN) Mas Ermieyati Samsudin yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah dan Zainal Hassan daripada Pakatan Harapan (PH). Penyandang kerusi itu sebelum ini ialah Md Rawi Mahmud dari BN.

PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran DUN pada 4 Oktober lepas susulan empat ahli DUN (Adun) menarik sokongan terhadap kepimpinan ketua menteri Melaka, dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 November ini sebagai tarikh mengundi.