- Iklan -
Berita

Rauf nafi program pelajar UiTM positif Covid-19 berkaitan BN

Program itu dianjurkan pada 4 hingga 7 November lalu oleh NGO calon BN Khaidhirah Abu Zahar.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Ab Rauf bersama penyokong Barisan Nasional di dewan penamaan calon bagi Dun Tanjung Bidara ketika hari penamaan calon PRN Melaka di Dewan Japerun, Tanjung Bidara.
Ab Rauf bersama penyokong Barisan Nasional di dewan penamaan calon bagi Dun Tanjung Bidara ketika hari penamaan calon PRN Melaka di Dewan Japerun, Tanjung Bidara.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka Ab Rauf Yusoh mengakui villa milik keluarganya menjadi tempat pelajar UiTM Lendu menjalankan sebuah program baru-baru ini sehingga seorang daripadanya dijangkiti Covid-19.

Bagaimanapun calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara itu menafikan program itu berkaitan dengan politik membabitkan BN mahupun Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan berlangsung pada 20 November.

“Memang vila itu keluarga saya punya, mereka datang sewa. Saya tak tahu program apa,” katanya ketika dihubungi MalaysiaNow.

Sebelum ini tular dakwaan mengenai pelajar UiTM cawangan Lendu positif Covid-19 selepas menghadiri sebuah program selama tiga hari dua malam.

Menurut satu surat jemputan yang dilihat MalaysiaNow, program itu dianjurkan badan bukan kerajaan, Pertubuhan Sukarelawan Jalinan Nasional (Sarjana) di bawah kelolaan calon BN di kerusi DUN Rim, Khaidhirah Abu Zahar.

Khaidhirah juga merupakan pengarah kepada Sarjana.

Menurut surat itu, tujuan program tersebut diadakan ialah bagi “mempersiap potensi pemimpin pelajar”.

MalaysiaNow cuba menghubungi Khaidhirah namun masih belum menerima sebarang respons.

Menurut seorang pegawainya, keberadaan Khaidhirah pada program itu tidak dapat dipastikan buat masa ini.

MalaysiaNow terdahulu melaporkan seorang pelajar UiTM Lendu positif Covid-19 selepas menghadiri sebuah program di Alor Gajah, manakala tujuh lagi akan disaring semula.

Pihak UiTM mengasingkan kesemua yang hadir ke program itu manakala 40 disaring.

Siasatan sedang diteruskan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Alor Gajah.