- Iklan -
Berita

Idris Haron, aset atau liabiliti PH?

Anak jati Asahan dilihat sebagai kelebihan Idris berbanding calon lain, namun pengundi tidak bersetuju jika dicalonkan sebagai ketua menteri.

Azzman Abdul Jamal
3 minit bacaan
Kongsi
Calon Pakatan Harapan bagi DUN Asahan, Idris Haron, bakal berentap dalam pertembungan enam penjuru dalam PRN Melaka. Gambar: Bernama
Calon Pakatan Harapan bagi DUN Asahan, Idris Haron, bakal berentap dalam pertembungan enam penjuru dalam PRN Melaka. Gambar: Bernama

Pencalonan bekas ketua menteri Melaka, Idris Haron di Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan terus menjadi tanda tanya sama ada beliau akan menjadi aset atau liabiliti kepada Pakatan Harapan (PH) ketika pencalonan beliau dan Nor Azman Hassan terus menerima tentangan hebat daripada DAP.

Menurut beberapa pemimpin DAP, keputusan mencalonkan Idris dan Azman untuk bertanding mewakili PKR dan Amanah dilihat sebagai satu liabiliti dan dibimbangi akan menyebabkan kekalahan gabungan tersebut.

Tan Hock Guan bercakap ketika ditemu bual MalaysiaNow mengenai situasi PRN Melaka di Asahan.

Pemilik kedai makan di DUN Asahan Tan Hock Guan, 51, berkata meskipun tidak bersetuju dengan langkah ahli politik untuk melompat parti dan menyebabkan berlakunya pilihan raya, beliau lebih menjurus untuk mengundi berdasarkan parti dan bukannya individu.

“Undian saya bergantung kepada pimpinan gabungan parti politik secara menyeluruh untuk ketahui hala tuju pembangunan negeri dan kawasan ini,” katanya kepada MalaysiaNow dan menambah beliau mula mengundi di DUN Asahan sejak 2004.

Sementara itu, seorang lagi pengundi, Leo Kow Chai, 70, menyatakan antara sebab pengundi Asahan akan memilih Idris adalah disebabkan beliau mewakili PH, tetapi tidak bersetuju sekiranya beliau dicalonkan sebagai ketua menteri.

“Tidak adil jika dia lompat parti semata-mata ingin jadi ketua menteri.

“Sebelum ini Adly (Zahari) dilantik sebagai ketua menteri, maka dia patut pimpin PH, bukan Idris.”

Sebelum ini Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mendesak Pengerusi PH Anwar Ibrahim untuk menamakan Adly sebagai calon ketua menteri gabungan itu sekiranya berjaya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Di samping itu, Tan dan Leo masing-masing percaya peluang untuk Idris menang di Asahan agak sukar memandangkan kerusi DUN itu disandang oleh Barisan Nasional (BN) sejak sekian lama.

“Setakat ini tiada parti dapat tewaskan Umno (di Asahan) dari dulu lagi. Nampak gaya Umno akan terus kuasai kawasan ini kerana sini merupakan kawasan majoriti Melayu,” katanya.

Seorang penduduk tempatan, Kamis menyatakan pandangan ketika ditemui MalaysiaNow di Asahan.

Bagaimanapun, pengundi yang menetap di Kampung Gunung Mas, Kamis Saad, 70, mempunyai pandangan berbeza kerana Idris merupakan anak jati Asahan dan dikenali ramai penduduk di kawasan itu.

“Lebih-lebih lagi kami tidak begitu kenal dengan calon lain termasuk dan BN dan Perikatan Nasional (PN).

“Ditambah dengan keadaan sekarang yang mana calon tidak dibenarkan berkempen, ada kemungkinan pengundi di sini akan memilih Idris walaupun Asahan merupakan kawasan yang dimenangi Umno untuk masa yang lama,” katanya yang juga sudah mengundi di DUN Asahan sebanyak lima kali.

Idris yang sebelum ini menyandang kerusi DUN Sungai Udang merupakan bekas ketua menteri Melaka yang dilantik ketika era pentadbiran BN pada 2013 hingga 2018.

Pada 4 Oktober, beliau bersama tiga lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman Md Ali sekali gus menyebabkan PRN terpaksa diadakan ekoran pembubaran DUN.

Tiga lagi Adun berkenaan ialah Azman (BN-Pantai Kundor), Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Seorang penduduk tempatan, Dollah Din bercakap ketika ditemu bual MalaysiaNow mengenai calon DUN Asahan.

Dalam pada itu, seorang lagi pengundi yang menetap di Kampung Relau, Dollah Din, 78, berkata bahawa tidak mustahil untuk Idris merampas kerusi Umno di Asahan kerana jasanya turut dikenang penduduk di situ.

“Beliau juga dikatakan rapat dengan penyandang kerusi DUN Asahan, Abdul Ghafaar Atan ketika Idris menjadi ketua menteri Melaka,” katanya.

Antara jasa oleh Idris yang diberitahu oleh Dollah dan Kamis termasuk pembinaan masjid, pejabat pos dan Jambatan Haji Haron – sempena nama ayahnya.

Tambah mereka, Umno juga mempunyai peluang untuk mempertahankan kerusi DUN Asahan, namun perlu yakinkan penduduk bahawa calon mereka mempunyai kredibiliti.

“Ada harapan untuk wakil Umno menang, cuma persoalannya mampukah dia mengatasi pengaruh Idris di kawasan ini.

“Pengundi Cina dan India di sini dilihat lebih menjurus ke arah PH, jadi adakah Umno yakin dapat tarik undi Melayu sepenuhnya terutama apabila berdepan dengan PN dan tiga lagi calon bebas?,” tambah Kamis.