Wednesday, December 8, 2021

SOP PRN Melaka sukar diikuti, tetapi perlu dipatuhi, kata aktivis parti

Dari sudut positif, aktivis berpandangan peraturan itu membolehkan teknologi digunakan seluas mungkin seiring perubahan dan perkembangan arus semasa.

Other News

Akar umbi parti politik yang bertugas dalam kempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka masing-masing mempunyai pendapat berbeza berhubung prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, namun mengakui peraturan itu agar sukar diikuti.

Antara yang dibangkitkan ialah larangan aktiviti ziarah untuk berkempen dalam suasana norma baharu ekoran pandemik Covid-19 yang ternyata menyukarkan usaha meraih undi, sebagaimana dilakukan pada pilihan raya sebelum ini.

Ahli Umno Muhammad Adib Juhari, 24, berkata SOP yang ditetapkan dalam PRN Melaka kali ini agak menyukarkan jentera parti untuk berkempen bagi pihak calon, namun peraturan itu tetap perlu dipatuhi bagi mengekang penularan Covid-19.

Bagaimanapun, Adib mengakui dari sudut positifnya, peraturan itu sekurang-kurangnya membolehkan teknologi digunakan seluas mungkin seiring perubahan dan perkembangan arus semasa.

“Apa yang saya nampak sekarang, untuk kita berkempen memang agak susah, tetapi mungkin ini cara norma baharu disebabkan Covid-19. Cara terbaik yang kita boleh lakukan… ia (SOP) sebenarnya memudahkan disebabkan kita memanfaatkan teknologi sekarang,” katanya kepada Bernama.

Adib turut mencadangkan supaya SOP dan tempoh berkempen dikaji semula selain SOP berkaitan kempen dikeluarkan lebih awal supaya calon dan jentera parti dapat melakukan persediaan awal dengan sebaiknya.

“Pada pendapat saya, panjangkan lagi tempoh berkempen supaya calon dapat melawat ke seluruh kawasan calon itu bertanding. Kalau kita lakukan ceramah dalam talian setiap hari pun nanti penonton akan bosan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian Bersatu Jasin Mohd Arzaain Mat Darus, 35, berpendapat tempoh berkempen selama lima hari sudah memadai dalam suasana SOP ketat yang dikenakan dan berkempen dalam suasana norma baru.

“Cukuplah sekadar lima hari (tempoh berkempen) sebab kalau 12 hari, dengan SOP ketat ini memang kita susah dan tak tahu nak buat apa. Kalau lama sangat (tempoh) pun, fitnah senang bertebaran di media sosial yang akan menyukarkan lagi calon,” katanya.

Dalam pada itu, AJK Pemuda Umno tangga Batu Mohd Haidhir Haris, 42, berkata golongan muda mungkin mudah untuk didekati menggunakan pendekatan secara dalam talian, tetapi sebaliknya ia tidak begitu memanfaat bagi warga emas.

“Golongan muda bagi dia mudah (menggunakan teknologi tekini) , tetapi untuk yang berumur 50-an ke atas nak terangkan kepada mereka agak susah secara dalam talian. Kita kena gunakan sumber yang ada sahaja setakat ini,” katanya.

Ahli Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Siti Zarbedah Idros, 54, pula berpendapat tidak semua orang mempunyai masa untuk membaca kandungan di laman sosial Facebook mahupun aplikasi WhatsApp, namun pihaknya menganggap ia satu cabaran buat parti yang diluluskan pendaftarannya pada 2019.

“Bermula malam ini, kami akan memuat naik kandungan digital ke laman media sosial dalam usaha mendekati pengundi. Kami juga merancang menggunakan kenderaan siar raya bergerak sebagaimana yang dicadangkan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya), namun keadaan cuaca yang kadangkala hujan membantutkan pergerakan,” katanya.

Siti Zarbedah turut mengakui dalam aspek positifnya SOP ketat yang dikenakan sepanjang tempoh berkempen itu sekurang-kurangnya dapat menjimatkan sejumlah kewangan memandangkan tiada lagi program bersama rakyat secara besar-besaran dapat dilakukan.

Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh pada Isnin dilaporkan memaklumkan penganjuran ceramah, syarahan, kempen secara fizikal adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh PRN Melaka.

Antara SOP berkenaan adalah bagi aktiviti pengedaran risalah, jumlah mereka yang dibenarkan terlibat dihadkan tidak lebih dari tiga orang, dan bagi tujuan berkempen, calon digalakkan menggunakan aplikasi sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, WhatsApp dan lain-lain aplikasi menyampaikan kempen.

SPR menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada 16 November susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lepas selepas empat Ahli DUN menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles